10 juta penerima Bantuan Khas Covid-19 bermula 6 September ini

10 juta penerima Bantuan Khas Covid-19 bermula 6 September ini

Sejumlah RM3.1 bilion disalurkan kepada institusi perbankan berkaitan pada hari ini bagi bayaran Bantuan Khas Covid-19 (BKC) dengan proses pengkreditan Fasa 1 bermula 6 hingga 10 September ini.

Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, ia sekali gus memanfaatkan seramai 10 juta penerima daripada kategori miskin tegar, B40 dan M40 serta golongan bujang yang berkelayakan.

Kata beliau, BKC merupakan sebahagian daripada inisiatif Pakej Perlindungan Rakyat dan Pemulihan Ekonomi (PEMULIH), selain bayaran tambahan kepada pakej rangsangan ekonomi.

“Saya mengambil maklum isu kelewatan bayaran BKC yang sepatutnya dilaksanakan pada bulan lalu. Oleh itu, saya telah mengarahkan Kementerian Kewangan menyegerakan pembayaran BKC.

“Proses pengkreditan Fasa 1 akan bermula pada 6 September dan dijangka selesai pada 10 September 2021,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Pada 28 Jun lalu, kerajaan mengumumkan Pakej PEMULIH sebagai antara inisiatif pemberian bantuan menyeluruh kepada rakyat dalam mengharungi kesan akibat pandemik Covid-19.

Menurut Perdana Menteri, pembayaran seterusnya akan dilaksanakan mengikut jadual yang ditetapkan.

Perdana Menteri berkata, beliau sentiasa peka terhadap keluh-kesah rakyat dan berharap pembayaran BKC itu sedikit sebanyak mampu meringankan beban rakyat yang terkesan akibat Covid-19.

“Kerajaan terus komited dalam memastikan kesejahteraan Keluarga Malaysia, terutamanya kumpulan sasar,” katanya.

Kelayakan penerima BKC dalam golongan miskin tegar dan B40 ialah berdasarkan kriteria kelayakan BPR 2021 dengan jumlah pendapatan isi rumah atau warga emas (RM5,000 dan ke bawah), manakala individu bujang (RM2,500 dan ke bawah).

Bagi kelayakan penerima M40 pula, golongan ini perlu melaporkan cukai pendapatan dengan jumlah pendapatan isi rumah (RM5,001 hingga RM9,000), manakala bujang (RM2,501 hingga RM5,000).

Bagi miskin tegar, isi rumah yang berkelayakan menerima jumlah bantuan sebanyak RM1,300, ia melibatkan tiga fasa pembayaran iaitu RM500, RM500 dan RM300; warga emas sebatang kara dan individu bujang dengan kelayakan bantuan RM500 melibatkan dua fasa pembayaran (RM200 dan RM300).

Penerima golongan B40 pula, isi rumah dengan kelayakan bantuan sebanyak RM800 adalah melibatkan dua fasa pembayaran iaitu RM500 dan RM300 manakala warga emas sebatang kara dan individu bujang dengan kelayakan bantuan RM200 akan menerima sekali pembayaran.

Seterusnya bagi penerima M40, isi rumah dengan kelayakan bantuan RM250, warga emas sebatang kara dan individu bujang (RM100) juga menerima sekali pembayaran.

COMMENTS

Wordpress (0)
Disqus (0 )