17 individu dikompaun ‘selamba’ main snuker di premis

17 individu dikompaun ‘selamba’ main snuker di premis

Seramai 17 individu dikompaun RM85,000 kerana melanggar prosedur operasi standard (SOP) Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dengan bermain snuker di sebuah premis dekat Damansara Jaya, Petaling Jaya, semalam.

Dalam operasi kira-kira jam 4 petang itu, individu berkenaan dikenakan kompaun RM5,000 setiap seorang.

Ketua Polis Daerah Petaling Jaya, Asisten Komisioner Mohamad Fakhruddin Abdul Hamid, berkata turut ditahan dua lelaki warga asing yang juga penjaga premis berusia 25 serta 27 tahun.

“Kita juga rampas dua kad pekerja, satu resit perniagaan dan pelbagai peralatan snuker untuk siasatan lanjut.

“Kes disiasat mengikut Peraturan-Peraturan Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit (Langkah-Langkah Di Dalam Kawasan Jangkitan) 2021, Seksyen 269 Kanun Keseksaan serta Seksyen 6(1)(c) Akta Imigresen 1959/63,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Dalam kes berasingan, Mohamad Fakhruddin berkata, pihaknya menahan seorang lelaki kerana dipercayai menghalang tugas polis dalam penugasan rondaan di Seksyen 14, Petaling Jaya, jam 3 petang semalam.

Katanya, suspek berusia 23 tahun itu enggan memberi kerjasama serta tidak berpuas hati ketika pemeriksaan dilakukan terhadapnya oleh penjawat awam berkenaan.

“Suspek melakukan provokasi dengan mempertikaikan tugas polis apabila diminta menunjukkan kad pengenalan, selain merakam kejadian itu serta mengugut untuk menularkan di media sosial,” katanya.

Lelaki berkenaan direman sehari mengikut Seksyen 156 Kanun Keseksaan kerana menghalang penjawat awam menjalankan tugas.-BH

COMMENTS

Wordpress (0)
Disqus (0 )