2 gol Sherman bantu Kedah bangkit menewaskan MU

2 gol Sherman bantu Kedah bangkit menewaskan MU

Kedah Darul Aman FC (KDA FC) bangkit sekali lagi di babak kedua untuk menang ke atas Melaka United 3-1 dalam aksi ke-11 Liga Super 2021 di Stadium Hang Jebat.

Tidak mudah buat Kedah apabila Melaka United tampil menguasai permainan apabila memperolehi jaringan penyamaan, namun hasil pertukaran pemain, kemasukkan Fayadh Zulkifli dan Azamuddin Akil memberikan kelebihan buat pelawat.

Melaka United turun dengan tiga perubahan apabila Zainal Abidin Hassan dilihat mempertaruhkan Faris Shah, Hasbullah Abu Bakar dan penyerang, Alex Goncalves berbanding skuad yang meraih kemenangan ke atas Perak FC pada minggu lalu.

Untuk Kedah pula, tiga perubahan juga telah dibuat dengan kemasukkan Loqman Hakim menggantikan Rodney Calvin yang digantung perlawanan, Rozaimi Abdul Rahman dan penyerang, Kpah Sherman yang digantung perlawanan minggu lalu.

Kedah terlebih dahulu tampak mengawal perlawanan dengan beberapa asakan cuba digerakkan oleh playmaker mereka, Rabih Ataya, tetapi kekentalan gandingan Razman Roslan dan Jang Suk-won berjaya mengekang setiap asakan yang cuba dijana.

Ini memaksa Kedah membuat rembatan luar kotak penalti sebagaimana rembatan Rabih Ataya dan Baddrul Bakhtiar yang gagal menggugat penjaga gol tuan rumah, Norazlan Razali. Ini merupakan penampilan keduanya pada musim ini.

Namun, kesilapan Jang Suk-won menahan bola menggunakan tangan di dalam kotak penalti, menghadiahkan pelawat sepakan penalti yang disempurnakan oleh Kpah Sherman di minit ke-18 untuk gol pembukaan perlawanan malam ini.

Tuan rumah memperbaiki permainan mereka dan mengambil alih penguasaan bola daripada Kedah. Kubu Kedah ditekan oleh dua pemain sayap, Wan Zaharulnizam dan S. Kumaahran dengan kepantasan kedua-duanya menjana asakan.

Minit ke-23, kesilapan penjaga gol pelawat, Shahril Sa’ari hampir mengundang padah apabila terlepas kawalan bola kepada Stefan Nikolic, namun ianya dengan pantas berjaya dikeluarkan oleh bek tengah kental, Renan Alves terlebih dahulu.

Minit ke-38, kekasaran Renan Alves terhadap Manuel Ott telah menyebabkan sepakan penalti berjaya diperolehi oleh skuad Hang Tuah. Ia disempurnakan oleh Stefan Nikolic untuk jaringan penyamaan. Itu adalah gol ke-4 peribadinya dalam lima penampilan.

Babak kedua menyaksikan tuan rumah terus menguasai permainan. Mereka tampak berterusan menekan Kedah yang seakan-akan buntu mencari jalan untuk memecah blok pertahanan lawan menerusi gandingan Kpah Sherman dan Kipre Tchetche.

Bek tengah, Jang Suk-won hampir menebus kesilapannya di babak pertama, namun tandukkannya yang menewaskan Shahril Sa’ari terkena tiang pada minit ke-50.

Seperti biasa, pengendali Kedah, Aidil Sharin menggunakan dua pemain gantian, Fayadh Zulkifli dan Azamuddin Akil untuk mengubah rentak permainan pasukannya.

Ia seakan-akan berjaya menambah sengat di jentera serangan buat pelawat. Akhirnya, Kpah Sherman berjaya meletak Kedah di depan hasil jaringan keduanya selepas menerima hantaran rendah daripada Kipre Tchetche di minit ke-62.

Kapten, Baddrol Bakhtiar menambah sengsara buat tuan rumah apabila mudah untuk menewaskan Norazlan Razali selepas menyudahkan peluang kedua apabila percubaan Kipre Tchetche terlepas daripada kawalan pertahanan lawan pada minit ke-86.

Kemenangan ini membolehkan skuad Hijau Kuning merapatkan jurang mata dengan pendahulu, Johor Darul Ta’zim (JDT) kepada hanya satu mata selain masih belum tewas selepas perlawanan pertama liga pada awal Mac yang lalu kepada JDT.-SemuanyaBola

COMMENTS

Wordpress (0)
Disqus (0 )