20,000 jemaah luar negara tunai umrah Ahad ini

20,000 jemaah luar negara tunai umrah Ahad ini

Seramai 20,000 jemaah umrah dan 60,000 pelawat akan dibenarkan memasuki Masjidil Haram di kota suci Mekah pada setiap hari mulai Ahad, 1 November ini yang menandakan permulaan fasa ketiga penyambungan semula perkhidmatan umrah secara berperingkat.

Timbalan Menteri Haji dan Umrah Arab Saudi, Dr. Amr Al-Maddah berkata, sejumlah 19,500 jemaah akan diberikan permit untuk menziarahi makam Nabi Muhammad sejak dari hari itu dan seterusnya.

Al-Maddah berkata demikian semasa berucap di markas Dewan Perniagaan dan Perindustrian Mekah, lapor portal berita dunyanews semalam.

Beliau berkata, kementeriannya telah menggerakkan segala kemampuan dan menyediakan peluang untuk semua operator dan penyedia perkhidmatan meningkatkan kecekapan operasi masing-masing.

Menurutnya, penyambungan semula perkhidmatan umrah bermula dengan fasa pertama pada 4 Oktober lalu dengan warganegara dan ekspatriat yang menetap di Arab Saudi dibenarkan mengerjakan umrah pada kadar 30 peratus kapasiti penuh.

Melalui fasa kedua pada 18 Oktober lalu pula, kerajaan Arab Saudi membenarkan solat lima waktu dikerjakan di Masjidil Haram dan lawatan ke Rawdah di Madinah serta meningkatka bilangan jemaah umrah.

Jemaah umrah dari luar negara pula akan dibenarkan memasuki kota suci Mekah untuk pertama kalinya mulai Ahad ini. Jemaah luar negara dan pelawat dalam negeri akan diizin untuk mengerjakan umrah dan solat di Masjidil Haram serta Masjid Nabawi pada kapasiti penuh dalam fasa keempat dan terakhir penyambungan semula ibadah umrah secara beperingkat itu.

Ibadah berkenaan ditangguhkan hampir lapan bulan lalu berikutan pandemik koronavirus yang melanda dunia.

Menurut Al-Maddah, mekanisme umrah melibatkan jemaah asing memerlukan prosedur khusus termasuk mengemukakan permohonan menunaikan umrah dan memasukkan semua data peribadi serta kesihatan dengan maksimum 50 orang dalam setiap kumpulan dari negara-negara yang dibenarkan serta perlu melalui ejen umrah.

Beliau berkata, seramai 10,000 jemaah menempah untuk melakukan umrah setiap hari merangkumi 500 kumpulan dengan 20 jemaah dalam setiap kumpulan.

Terdapat lebih 1,800 hotel dan lebih 250,000 unit perumahan di Mekah disediakan untuk menempatkan para jemaah. Hotel yang disediakan termasuk bertaraf tiga hingga lima bintang dan diarah melaksanakan langkah pencegahan standard untuk membendung penyebaran koronavirus. – Agensi

COMMENTS

Wordpress (0)
Disqus (0 )