40 individu dikompaun langgar SOP, buka lebih masa

40 individu dikompaun langgar SOP, buka lebih masa

Seramai 31 pelanggan termasuk lapan pekerja dan seorang pemilik kafe dikompaun kerana melanggar Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB).

Ketua Polis Daerah Sibu Asisten Komisioner Stanley Jonathan Ringgit berkata, semuanya mereka terdiri daripada 21 lelaki dan 19 wanita berusia antara 16 hingga 55 tahun.

Katanya, mereka dikenakan tindakan dalam pemeriksaan dijalankan pasukan Jabatan Pencegahan Jenayah Dan Keselamatan Komuniti, Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Sibu bersama Majlis Perbandaran Sibu ke atas sebuah kafe di Jalan Adam di sini kerana didapati beroperasi melebihi masa.

“Kafe itu adalah menjalankan perniagaan makanan jenis BBQ dan minuman beralkohol.

“Pemeriksaan dibuat pada 10.45 malam tadi mendapati premis penuh dengan pelanggan sedang minum minuman keras,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Stanley berkata, pemilik premis yang merupakan seorang lelaki dikenakan kompaun RM10,000 manakala lapan pekerjanya yang terdiri daripada empat lelaki dan empat wanita dikompaun RM1,500 seorang.

Pada masa sama, katanya semua 31 pelanggan yang terdiri daripada 16 lelaki dan 15 wanita turut dikompaun RM1,500 seorang.

“Semua suspek didapati melakukan kesalahan di bawah Peraturan 11 Peraturan-Peraturan Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit (PPPPB) (No. 4) 2021 kerana pemilik premis dan pelanggan hadir di premis yang beroperasi melebihi masa ditetapkan di kawasan PKPB,” katanya.-HM

COMMENTS

Wordpress (0)
Disqus (0 )