MMK KEDAH TETAPKAN SEKTOR 'ESSENTIAL SERVICES' TERMASUK BERKAITAN BEKALAN MAKANAN PERLU BEROPERASI SEPERTI BIASA
MMK KEDAH TETAPKAN SEKTOR ‘ESSENTIAL SERVICES’ TERMASUK BERKAITAN BEKALAN MAKANAN PERLU BEROPERASI SEPERTI BIASA

MMK KEDAH TETAPKAN SEKTOR ‘ESSENTIAL SERVICES’ TERMASUK BERKAITAN BEKALAN MAKANAN PERLU BEROPERASI SEPERTI BIASA

ALOR SETAR – Mesyuarat Majlis Kerajaan (MMK) Negeri hari ini menetapkan supaya perkhidmatan diperlukan (essential services) terutamanya dalam sektor bekalan makanan, mesti berjalan seperti biasa sebagaimana ditetapkan dalam Perintah Kawalan Pergerakan diumumkan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin pada 16 Mac lalu.

Menteri Besar, Dato’ Seri Utama Mukhriz Tun Mahathir berkata, langkah itu bagi menjamin bekalan makanan tidak berkurang, sekali gus dapat menampung kekurangan bekalan makanan import yang mungkin akan terjejas ketika ini.

“Sebagai contoh, kita nak supaya nelayan dapat terus turun ke laut supaya bekalan ikan tak menurun dan berkurangan. Dalam masa sama, PKP perlu dipatuhi di mana pelantar ikan tidak boleh dikerumuni para peraih mengambil ikan untuk dijual.

“Justeru satu kaedah sedang difikirkan bersama Lembaga Kemajuan Ikan Malaysia (LKIM) dan persatuan-persatuan nelayan di kawasan terlibat tentang kaedah terbaik untuk memastikan ikan dapat disampaikan kepada masyarakat. Keadaan itu juga dapat memastikan kalangan nelayan memperolehi pendapatan dan mencari makan untuk ahli keluarga masing-masing,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam sidang akhbar selepas mesyuarat mingguan MMK di Wisma Darul Aman di sini, hari ini.

Mengulas lanjut katanya, langkah sama turut difikirkan untuk sektor-sektor lain antaranya pertanian supaya sayur-sayuran yang ditanam tidak rosak sebelum sampai ke tangan pemborong dan pengguna, sekali gus mengurangkan bekalan.

“Pada peringkat ini, kita perlu lihat perincian mengenainya terutamanya dengan cara yang bagaimana kita dapat permudahkan sistem penyampaian supaya patuh kepada PKP selain memenuhi permintaan pengguna.

“MMK juga merasakan tiada salahnya untuk penoreh getah masuk ke ladang-ladang mencari rezeki. Apabila berada di ladang, tiada sesiapa di situ melainkan mereka serta pokok getah dan disebabkan itu, kita wajar benarkan untuk mereka mencari rezeki apatah lagi kehidupan golongan ini ada di antaranya ibarat kais pagi makan pagi,” katanya.

Justeru katanya, arahan telah dikeluarkan semalam supaya pemborong atau kedai yang membeli getah dibuka supaya kalangan penoreh dapat terus membekalkan sekerap, seterusnya meraih pendapatan.

Beliau juga dalam pada itu meminta supaya Kementerian Perdagangan Antarabangsa Dan Industri untuk tidak menyekat operasi kilang-kilang menghasilkan barangan pembungkusan makanan.

“Memanglah orang akan kata, kilang plastik tidak sepatutnya dibenarkan beroperasi. Tetapi kalau plastik dihasilkan itu untuk membungkus roti dan barang makanan lain contohnya, kilang tersebut sepatutnya dipertimbangkan untuk dibenarkan beroperasi kerana mereka terbabit dengan pembekalan makanan.

“Kalau tak ada plastik pembungkus itu, bagaimana kita nak bekalkan kepada pengguna,” katanya.

#UnitMediaKedah #SidangMedia
#MesyuaratMingguanEXCO
#WabakCovid19 #PerintahKawalanPergerakan
#StayAtHome
#KedahAmanMakmur
#KerajaanNegeriKedah
#KedahDarulAman

(Visited 1 times, 1 visits today)

COMMENTS