1,349 INDIVIDU DITAHAN INGKARI PKP DI KEDAH -MUKHRIZ MAHATHIR
1,349 INDIVIDU DITAHAN INGKARI PKP DI KEDAH -MUKHRIZ MAHATHIR

1,349 INDIVIDU DITAHAN INGKARI PKP DI KEDAH -MUKHRIZ MAHATHIR

ALOR SETAR – Seramai 1,349 individu telah ditahan di negeri ini kerana melanggar Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

Menteri Besar, Dato’ Seri Utama Mukhriz Tun Mahathir berkata, seramai 644 daripada mereka telah dituduh di mahkamah manakala 349 dikompaun sebelum ini.

“Apa pun kita bersyukur kerana kebelakangan ini tiada pertambahan kes baharu di Kedah manakala jumlah yang dirawat juga kian berkurang.

“Sejak kelmarin, tiada lagi pesakit di Unit Rawatan Rapi (ICU) manakala yang tinggal di wad cuma tujuh orang,” katanya dalam sidang akhbar selepas mempengerusikan Mesyuarat Jawatankuasa Keselamatan Khas Negeri (JKKN) di Wisma Darul Aman di sini, hari ini.

Setakat ini terdapat 86 pesakit yang telah sembuh di Kedah bersamaan 91.5 peratus. Terdapat satu kematian dilaporkan di Kedah sebelum ini.

Tambahnya setakat ini cuma Kota Setar saja yang dilabelkan sebagai zon kuning sementara yang lain telah berubah menjadi zon hijau.

“Pelbagai langkah telah diambil menuju ke arah melestarikan Kedah bebas COVID-19.

“Kita berharap Kota Setar juga akan berubah menjadi zon hijau dalam masa terdekat. Namun saya mengharapkan agar semua pihak terus mematuhi PKP dan tidak leka dengan angka yang semakin baik ditunjukkan ini,” katanya.

(Visited 4 times, 1 visits today)

COMMENTS