Abang bomba selamatkan si bulus
Abang bomba selamatkan si bulus

Abang bomba selamatkan si bulus

Melaka: Tindakan pantas anggota bomba dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Melaka Tengah berjaya menyelamatkan seekor kucing yang terperangkap dalam saluran air di sebuah rumah di Tengkera, semalam.

Kejadian dikatakan berlaku kira-kira jam 12.45 tengah hari, sebelum sebuah jentera bersama enam anggota bomba bergegas ke lokasi kejadian.

Komander Operasi Pegawai Bomba Kanan (PBK) II Norezura Md Azam berkata, sejurus tiba di lokasi kejadian anggota bomba mendapati kucing itu terperangkap di lubang salur air di dalam tandas bilik utama.

Katanya, ketika mereka tiba yang kelihatan hanya dua kaki belakang dan ekor haiwan itu sahaja manakala kepala serta sebahagian badan lain sudah masuk ke dalam lubang.

“Kami dimaklumkan kediaman itu kosong dan ketika kejadian pihak ejen datang untuk membersih premis sebelum kucing itu tiba- tiba masuk ke dalam rumah.

“Ejen terbabit sudah cuba menarik kucing itu keluar tetapi tidak berjaya sebelum menghubungi bomba bagi mendapatkan bantuan,” katanya ketika dihubungi.

Menurutnya, bomba mengambil masa kira-kira lima minit sebelum berjaya membawa kucing itu keluar.

“Awalnya, kami cadang untuk pecahkan lubang itu tetapi cuba menariknya terlebih dahulu. Mulanya kucing itu meronta namun tidak lama selepas itu keadaanya tenang.

“Operasi menyelamat sedikit sukar kerana keadaan salur air itu berada dalam keadaan bengkok menyebabkan badan kucing itu tersangkut,” katanya.

Norezura berkata, bagaimanapun pemeriksaan dilakukan mendapati kucing itu tiada sebarang kecederaan sebelum dilepaskan kembali. —HM

 

(Visited 24 times, 1 visits today)

COMMENTS