Abdul Hadi Diperkenan Untuk Menghadap Sultan Perak
Abdul Hadi Diperkenan Untuk Menghadap Sultan Perak

Abdul Hadi Diperkenan Untuk Menghadap Sultan Perak

Sultan Perak Sultan Nazrin Shah berkenan menerima menghadap Presiden PAS Datuk Seri Abdul Hadi Awang di Istana Kinta, di sini, esok.

Ahli Dewan Negara negeri Perak Datuk Seri Mohd Annuar Zaini yang mengesahkan hal itu kepada Bernama melalui WhatsApp berkata, Abdul Hadi dititah menghadap Sultan Nazrin pada 11 pagi.

Abdul Hadi, yang juga Ahli Parlimen Marang pada 10 Disember lalu mengutus warkah kepada Sultan Nazrin memohon untuk menghadap baginda bagi menyembah maklum suasana politik membabitkan PAS.

Jumaat lalu, Pesuruhjaya PAS Perak Razman Zakaria menzahirkan permohonan ampun kepada Sultan Nazrin atas kekhilafan tiga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) daripada parti itu kerana tidak menghadap baginda sepertimana dititahkan pada 8 Disember lalu.

Selain Razman yang juga ADUN Gunung Semanggol, dua lagi wakil rakyat PAS Perak terbabit ialah Mohd Akmal Kamarudin (Selama) dan Mohd Khalil Yahaya (Kubu Gajah).

Dalam pentadbiran kerajaan negeri sebelum ini, Razman dan Mohd Akmal dilantik sebagai Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (Exco).

Bagaimanapun, ketika istiadat angkat sumpah jawatan Exco di Istana Iskandariah, Kuala Kangsar, pada 10 Disember lalu, tiada ADUN daripada PAS dalam senarai awal yang dilantik sebagai Exco, sebaliknya hanya membabitkan empat ADUN Umno dan seorang daripada Bersatu.

Sumber : Harian Metro

(Visited 3 times, 1 visits today)

COMMENTS