Adakah Kerajaan PN tidak boleh menerima teguran ? - Marina Ibrahim.
Adakah Kerajaan PN tidak boleh menerima teguran ? – Marina Ibrahim.

Adakah Kerajaan PN tidak boleh menerima teguran ? – Marina Ibrahim.

Setiausaha DAP Johor Marina Ibrahim menyuarakan rasa simpati terhadap Anggota Parlimen Segambut, Hannah Yeoh yang telah dipanggil ke Bukit Aman semalam untuk disoal siasat berkenaan ciapan di Twitter berhubung isu perkahwinan bawah umur, Mac lalu.

Marina turut mempersoalkan sama ada kerajaan Perikatan Nasional (PN) tidak boleh menerima teguran atau pandangan terhadap beberapa perkara.

“Adakah kerajaan kini adalah kerajaan yang tidak boleh dibidas dan ditegur? Adakah bertanyakan soalan untuk memastikan hak kanak-kanak terlindung juga menjadi satu kesalahan?” katanya menerusi satu kenyataan hari ini.

Semalam, Yeoh telah dipanggil oleh pihak polis untuk disoal siasat ekoran ciapannya yang mempersoalkan status Pelan Strategi Kebangsaan Bagi Menangani Punca Perkahwinan Bawah Umur di bawah timbalan menteri pembangunan wanita, keluarga dan masyarakat (KPWKM) sekarang, Siti Zailah Mohd Yusoff.

Siti Zailah dilaporkan mempertahankan perkahwinan bawah umur kerana dibenarkan dalam Islam. Katanya, umat Islam tidak pernah mempersoalkan pilihan paderi Buddha dan Katolik untuk tidak berkahwin.

Sementara itu, dalam kenyataan sama, Marina turut menjelaskan bahawa Yeoh mempunyai sebab tertentu membangkitkan soalan tersebut.

“Kita semua perlu teliti semula mengapa saudari Hannah Yeoh mempersoalkan pelantikan Siti Zailah sebagai Timbalan Menteri Wanita, Keluarga dan Masyarakat.

“Ini sebenarnya akibat kenyataan yang dikeluarkan Siti Zailah sendiri dalam perbahasan Parlimen pada Julai 2017 yang mana beliau mempertahankan perkahwinan bawah umur,” katanya.

Selain itu, Marina juga menambah bahawa perkahwinan bawah umur bukan cuma isu agama malah ia merupakan masalah besar yang perlu diatasi kementerian tersebut.

Untuk rekod, pelan itu dilancarkan pada Januari lalu bertujuan menangani punca perkahwinan bawah umur melalui perubahan dasar, reformasi undang-undang, program dan kerjasama antara agensi kerajaan.

Menteri KPWKM pada masa itu, Wan Azizah Wan Ismail berkata pelan itu merangkumi tujuh objektif, 17 strategi serta 58 program dan tindakan bagi menangani punca-punca itu dalam tempoh lima tahun akan datang iaitu sehingga 2025.

(Visited 200 times, 1 visits today)

COMMENTS