ADUN Kota Siputeh prihatin nasib rakyat yang terkesan dengan PKP 3.0

ADUN Kota Siputeh prihatin nasib rakyat yang terkesan dengan PKP 3.0

KUBANG PASU – Kerajaan negeri Kedah perlu memperbanyakkan lagi bilangan bantuan bakul makanan kepada keluarga yang terjejas akibat pandemik Covid-19 di negeri ini.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kota Siputeh, Dr Salmee Said berkata, masih ramai yang mengadu tercicir sebagai penerima, sedangkan mereka hilang pekerjaan selain tiada sumber pendapatan tetap ketika pandemik Covid-19 memasuki fasa ketiga.

Menurutnya, pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) 3.0 mengakibatkan lebih ramai rakyat terjejas berbanding PKP 2.0 dan PKP 1.0, malah kesannya semakin dirasai rakyat.

“Mungkin senarai penerima perlu dikemas kini setiap masa kerana saya percaya sudah ada golongan M40 kini tersenarai sebagai B40. Mungkin akibat diberhentikan kerja setelah PKP dikuatkuasakan,” katanya kepada Sinar Harian pada Isnin.

Menteri Besar Kedah, Muhammad Sanusi Md Nor sebelum ini mengumumkan sebanyak 15,000 bakul makanan diedarkan kepada keluarga yang benar-benar terkesan dengan pelaksanaan PKP 3.0.

Daripada jumlah itu, sebanyak 6,000 bakul makanan disediakan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) di bawah peruntukan kerajaan Persekutuan, manakala selebihnya oleh kerajaan negeri.

Kerajaan negeri memperuntukkan sebanyak RM2.89 juta bagi menyediakan bakul-bakul makanan untuk diedarkan melalui 12 Pusat Kawalan Operasi Bencana (PKOB).

Sementara itu, Dr Salmee yang juga Naib Pengerusi Parti Amanah Negara (Amanah) Kedah berkata, pihaknya menerima banyak aduan daripada penduduk di DUN Kota Siputeh mendakwa tercicir daripada menerima bakul makanan yang disediakan kerajaan negeri.

“Mungkin bakul makanan yang diedarkan tidak banyak atau tidak cukup menyebabkan keluarga tertentu sahaja yang dapat. Individu yang sepatutnya seperti asnaf pun ada yang belum terima,” katanya.

Dalam pada itu, Dr Salmee yang juga Timbalan Ketua Angkatan Wanita Amanah Negara (AWAN) Kedah berkata, hampir RM10,000 diperuntukkan Pusat Khidmat Wakil Rakyat (PKWR) DUN Kota Siputeh untuk sumbangan beras dan barangan runcit yang diagihkan kepada lebih 300 keluarga.

“Penerima merupakan warga emas yang sukar mencari pendapatan, keluarga asnaf dan ibu tunggal melibatkan sebanyak 51 keluarga pada kali ini. Antaranya dari Kampung Kubang Beruang, Kampung Damai, Padang Tok Keramat 1, Kampung Paya, Kampung Siputeh dan Kampung Kandis,” katanya.

Beliau berkata, sebahagian sumbangan adalah daripada dana orang ramai yang menyumbang kepada Pusat Peduli Rakyat DUN Kota Siputeh, manakala sebahagian lagi sumbangan ikhlas beliau.

Dr Salmee yang juga bekas Exco Pendidikan Kedah berkata, beliau turut menerima rungutan berkaitan ketiadaan peranti untuk pelajar mengikuti Pengajaran dan Pembelajaran di Rumah (PdPR).

“Saya harap kerajaan negeri turut berikan perhatian kepada perkara ini. Terbaharu, saya mendapat permohonan daripada seorang guru sekolah menengah untuk bekalkan telefon bimbit kepada anak muridnya yang tiada peranti bagi mengikuti sesi PdPR,” katanya.

Artikel Penuh : https://www.sinarharian.com.my/article/145533/EDISI/Kerajaan-Kedah-digesa-perbanyakkan-bilangan-bakul-makanan

COMMENTS

Wordpress (0)
Disqus (0 )