Adun Kubang Rotan risau hasil laut Kuala Kedah rosak berikutan perlaksanaan PKPD

Adun Kubang Rotan risau hasil laut Kuala Kedah rosak berikutan perlaksanaan PKPD

Pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) di Kuala Kedah tidak dinafikan keperluannya untuk dikuatkuasakan ekoran peningkatan jumlah kes Covid-19 di dua buah mukim di negeri itu.

Namun begitu, beberapa sektor industri pemakanan negara harus diberi pertimbangan sewajarnya oleh pihak Majlis Keselamatan Negara (MKN) kerana ia boleh mengundang kerugian jutaan ringgit kepada pihak yang terlibat seandainya ia tidak diberi perhatian serius.

Adun Kubang Rotan, Asmirul Anuar Aris berkata, prosedur operasi standard (SOP) sebelum ini sememangnya membenarkan beberapa sektor penting dijalankan termasuklah hasil perikanan dan pertanian yang merangkumi jutaan ringgit, tetapi ia boleh mengalami kerugian sekiranya hasil tidak dapat dikeluarkan dari Kuala Kedah.

“Sekiranya hasil pendapatan bertan-tan tidak dapat dipasarkan sudah pasti ikan-ikan tersebut boleh menjadi busuk dan mengalami kerugian apabila ia tidak dibenarkan dibawa keluar dari Kuala Kedah.

“Setakat ini sudah bertan-tan ikan terpaksa dibuang begitu sahaja ekoran tidak dapat dihantar kepada pengguna dan ia menyebabkan kerugian besar kepada penduduk tempatan mahu pun industri negara.

“Begitu juga dengan hasil pertanian seperti padi yang tidak boleh dituai dan dibiarkan rebah menyembah bumi ekoran peraturan yang ditetapkan kerajaan,” katanya kepada Malaysia Dateline.

Sehubungan itu katanya, Menteri Besar Kedah selaku Pengerusi MKN perlu menggunakan budi bicara beliau dengan segera menghubungi Putrajaya supaya kemelut ini dapat diselesaikan dengan segera.

Malah tegas beliau, perkara ini boleh diselesaikan dalam masa beberapa jam sahaja sekiranya inisiatif dan usaha diambil oleh MB, namun tiba-tiba menjadi kemelut ekonomi perikanan dan pertanian dalam tempoh tiga hari.

“Saya juga telah menghubungi pihak penghulu mengenai urusan bekalan makanan melalui Pusat Kawalan Operasi Bencana (PKOB) untuk diuruskan keperluan penduduk terlibat. Malangnya sehingga kini masih belum ada bekalan makanan dari pihak kerajaan.

“Pihak kargo juga mengalami kerugian ekoran penghantaran yang tidak dapat dilakukan ke Pulau Langkawi dan apa pula nasib penduduk di pulau tersebut masih menjadi kerisauan, apa lagi pengangkutan feri ke Langkawi yang masih menjadi persoalan.

“Sejajar dengan itu sebagai Adun Kubang Rotan yang peka terhadap rakyat, maka semua pihak dan agensi terlibat harus segera membantu menyelesaikan masalah terbaru ini ekoran pelaksanaan PKPD di Kuala Kedah,” tambah beliau yang juga merupakan Setiausaha AMANAH negeri Kedah. md

COMMENTS

Wordpress (0)
Disqus (0 )