Adun Permatang Pasir jawab fitnah PAS - Faiz Fadzil
Adun Permatang Pasir jawab fitnah PAS – Faiz Fadzil

Adun Permatang Pasir jawab fitnah PAS – Faiz Fadzil



1. Saya ada terbaca kenyataan PAS Kawasan Permatang Pauh yang disiarkan oleh lidah rasmi PAS Harakah bertajuk “YB Pmtg Pasir buktikan diri boneka DAP” di pautan https://harakahdaily.net/index.php/2022/02/24/yb-pmtg-pasir-buktikan-diri-boneka-dap/ berhubung kenyataan saya berkaitan isu kontroversi penjagaan anak melibatkan Pn Loh Siew Hong. Saya menegaskan bahawa kenyataan oleh PAS tersebut adalah fitnah dan berniat jahat.

2. Ingin saya tegaskan sekali lagi bahawa kenyataan saya pada 16 Februari lalu adalah bagi memberikan pandangan undang-undang hari ini bahawa penukaran agama bagi kanak-kanak bawah umur 18 tahun memerlukan kebenaran kedua-dua pihak iaitu ibu dan bapa. Oleh itu, penukaran satu pihak oleh ibu atau bapa (unilateral conversion) tidak dibenarkan dan boleh dibatalkan oleh mahkamah. Di mana salahnya kenyataan tersebut?

3. Saya ingin bertanya kembali, apa salahnya saya menyatakan maksud ayat al-Quran bahawa tiada paksaan dalam agama (Surah Al-Baqarah:256)? Saya menegaskan bahawa saya tidak pernah sama ada melalui mulut, jari atau hati menyokong mana-mana orang Islam dimurtadkan. Justeru itu, PAS diingatkan agar tidak memutar-belit (spin) kenyataan saya semata-mata untuk maraih sokongan politik murahan.

4. Saya tetap berpendirian bahawa keislaman anak-anak tersebut perlu dipertahankan. Seharusnya, pihak berkuasa berunding secara baik dengan ibu mereka dan menawarkan khidmat kebajikan supaya isu ini tidak diapi-apikan dan keislaman mereka terpelihara walaupun dijaga oleh ibu mereka berdasarkan Perintah Mahkamah. Adalah menyedihkan jika keislaman mereka dibatalkan oleh mahkamah, dan jika ini berlaku, siapa yang harus dipersalahkan?

5. Nabi Muhammad SAW telah menunjukkan contoh teladan terbaik melalui tutur bahasa yang baik dan rundingan damai dapat mengharmonikan keadaan dan menguntungkan Islam. Sirah perjanjian Hudaibiyah banyak hikmahnya jika kita bijak menilai dan memahaminya kerana struktur sosial Malaysia yang berbilang agama dan kaum (majmuk).

6. Saya menegaskan sekali lagi bahawa kenyataan saya bukan bersifat politik. Politik nilai dan khidmat serta agenda keadilan sosial dan demokrasi yang saya perjuangkan akan menjadi pertimbangan rakyat untuk menyokong saya. Saya tidak memilih agenda politik sentimen murahan seperti PAS untuk meraih sokongan rakyat pelbagai kaum.

Faiz Fadzil
28 Februari 2022

(Visited 26 times, 1 visits today)

COMMENTS