AGIHAN KEUNTUNGAN TABUNG HAJI MENINGKAT 133% SELEPAS INISIATIF PAKATAN HARAPAN
AGIHAN KEUNTUNGAN TABUNG HAJI MENINGKAT 133% SELEPAS INISIATIF PAKATAN HARAPAN

AGIHAN KEUNTUNGAN TABUNG HAJI MENINGKAT 133% SELEPAS INISIATIF PAKATAN HARAPAN

1. Strategi penstrukturan semula Tabung Haji di bawah Kerajaan Pakatan Harapan telah membuahkan hasil, di mana agihan keuntungan Tabung Haji kepada para pendeposit Muslim untuk tahun 2019 telah meningkat lebih daripada 133% atau RM1.2 bilion kepada RM2.1 bilion. Ini tercapai selepas strategi pelaburan Tabung Haji telah ditambah baik dan kedudukan kewangan insititusi Islam tersebut telah dimantapkan. Bukan itu sahaja, Kerajaan Pakatan Harapan melalui inisiatif penstrukturannya juga telah menampung defisit Tabung Haji sebanyak RM10 bilion menerusi suntikan dana RM10.3 bilion.

2. Suntikan dana ini dibuat menerusi pengambilalihan aset-aset Tabung Haji bernilai RM9.63 bilion oleh Urusharta Jamaah Sdn Bhd (entiti khas di bawah Kementerian Kewangan) tetapi telah dibayar RM19.9 bilion. Ini bermaksud Kerajaan Pakatan Harapan telah membayar RM10.3 bilion melebihi nilai sebenar aset. Semua aset yang diambil alih ini adalah aset-aset yang nilai semasanya adalah di bawah kos pelaburan asal dan aset-aset yang tidak menjana keuntungan atau mempunyai margin keuntungan yang rendah termasuk perniagaan ladang kelapa sawit dan perhotelan.

3. Walaupun ada yang mengkritik pengambilalihan aset ini, ramai tidak menyedari bahawa jumlah aset Tabung Haji setakat 31 Disember 2019 bernilai RM74.3 bilion berbanding RM70.3 bilion pada tahun 2017 di bawah Kerajaan Barisan Nasional. Walaupun Tabung Haji rugi dalam tahun 2017 dengan defisit RM4.1 bilion (liabiliti RM74.4 bilion berbanding aset RM70.3 bilion) sepertimana yang diumumkan syarikat audit bebas PriceWaterhouseCoopers(PWC), namun keuntungan masih dibayar ketika itu daripada sumber wang pendeposit dan bukan keuntungan perniagaan sebenar. Tindakan ini bagi mengekang kemarahan pendeposit sungguhpun ianya bertentangan dengan konsep kewangan, syarie dan Akta Lembaga Tabung Haji 1995.

4. Walaubagaimanapun, setelah Pakatan Harapan melakukan pelan pemulihan, Tabung Haji pada hari ini berada dalam kedudukan kewangan yang jauh lebih mantap berbanding pada tahun 2017 dan membayar keuntungan berdasarkan keuntungan perniagaan sebenar. Agihan keuntungan Tabung Haji akan terus meningkat sekiranya prinsip-prinsip urustadbir baik insititusi itu yang diperkenalkan dan dilaksanakan ketika pemerintahan Pakatan Harapan diteruskan.

FAIZ FADZIL

(Visited 7 times, 1 visits today)

COMMENTS