Agong berhak pecat Menteri yang korup dan khianat

Agong berhak pecat Menteri yang korup dan khianat

Ada sebuah buku maha pendek nukilan Tun Salleh Abas berjudul “Unsur-Unsur Tradisi Dalam Perlembagaan Malaysia” terbitan 1985, yang saya begitu yakin, insyaallah, ada di perpustakaan peribadi Sultan Nazrin Muizzuddin Shah. Baginda Sultan Perak ini Timbalan Yang di-Pertuan Agong.

Dalam “Unsur-Unsur Tradisi Dalam Perlembagaan Malaysia” ini, pengarang iaitu seorang tokoh kehakiman yang terkenal membincangkan empat perkara dalam Perlembagaan iaitu Kesultanan atau Pemerintahan Beraja, agama Islam, bahasa Melayu, dan kedudukan istimewa orang Melayu. Keempat-empat aspek ini menurut Salleh unsur tradisi dalam Perlembagaan.

Salleh menyatakan pemerintahan beraja satu warisan sejarah, budaya, dan merupakan tradisi orang Melayu di negara ini, yang kemudian setelah menempuh pelbagai sejarah sejak zaman dahulu kala, era penjajahan British (Malayan Union), ia diberi nafas moden di mana pada hari ini kita melihat adanya Agong sebagai “kepala utama bagi Persekutuan”.

Salleh menegaskan, “hasil penerimaan sistem raja berperlembagaan, Agong diberi kuasa memerintah Persekutuan; akan tetapi sebagai raja berperlembagaan baginda dikehendaki bertindak atas nasihat Jemaah Menteri baginda atau seorang Menteri yang dikuasakan oleh Jemaah Menteri.”

Demi melancarkan hubungan antara sistem beraja dengan sistem rakyat ini, Salleh seterusnya menjelaskan; “…untuk mewujudkan hubungan kerja yang baik, Perlembagaan memperuntukkan Agong dan semua Raja serta Gabenor supaya kerap bertemu. Perkara demikian dapat dilaksanakan dengan penubuhan sebuah badan yang dipanggil Majlis Raja-Raja yang mempunyai sekretariat tetap diketuai oleh seorang pegawai dengan gelaran ‘Penyimpan Mohor Besar Raja-Raja’.”

Ada tiga hal yang sangat penting diperhatikan dan diberi keutamaan dalam perbincangan mengenai Agong seperti digariskan oleh Salleh.

Pertama, Allahyarham menekankan bahawa Agong adalah ketua dan juga pelindung, serta faktor pemersatu untuk semua bangsa. Tuanku bukanlah milik orang Melayu-Islam semata-mata, meskipun baginda ketua agama Islam dan berbangsa Melayu. Salleh menyatakan begini:

“Agong menjadi lambang tumpuan perpaduan masyarakat berbilang kaum di negara ini. Orang Melayu, Cina, India, dan lain-lain bangsa menganggapkan baginda sebagai pemelihara kepentingan dan harapan mereka masing-masing, kerana kepada bagindalah Perlembagaan telah mengamanahkan tanggungjawab…”

Tanggungjawab yang ingin disebutkan oleh Salleh adalah, tambah beliau; “Agong adalah lambang perpaduan”.

Justeru, sayugia diingatkan, bangsa-bangsa bukan Melayu boleh sahaja menjunjung Rukun Negara dan Perlembagaan. Tidaklah menghairankan jika Ahli-ahli Parlimen DAP yang bukan berbangsa Melayu misalnya menegur sebarang pengkhianatan atau penderhakaan terhadap Agong. Ini kerana baginda bukan sahaja milik bangsa Melayu untuk diperkotak-katikkan atau ditipu sembarangan. Baginda faktor pemersatu yang besar.

Sebagai lambang perpaduan, tanggungjawab ini bukanlah mudah dan satu kerja besar. Ini kerana, kata Salleh, “tugas melaksanakan tanggungjawab ini merupakan satu perkara yang amat rumit dan bergantung sepenuhnya kepada kebijaksanaan dan pandangan jauh para Menterinya, dan atas nasihat merekalah baginda harus bertindak.”

Di sinilah Salleh menekankan perkara kedua yang lebih penting. Iaitu hubungan tindak tanduk antara Menteri dan para Raja. Beliau, pengarang yang merupakan tokoh perundangan dan kehakiman yang penting (juga di akhir hayat menjadi ahli PAS), ada menulis panjang lebar mengenai hal ini, dalam buku pendek beliau tersebut.

Salleh menyedari kadang-kala Raja akan berdepan masalah dengan Menteri. Apakah yang dituliskan oleh beliau dalam hal ini pada 1985, yakni di era pemerintahan Dr Mahathir 1.0?

“Perjalanan institusi beraja juga menghadapi masalah. Di peringkat Persekutuan, sistem ini kelihatan berjalan lancar. Selama ini hubungan baik telah wujud di antara Agong dengan Perdana Menteri dan lain-lain Menterinya.

“Akan tetapi hal yang sama tidak dapat diperkatakan mengenai hubungan di antara seorang Raja sesebuah Negeri dengan Menteri Besarnya. Dari semasa ke semasa akhbar-akhbar tempatan telah menyiarkan laporan yang membayangkan bahawa perhubungan di antara mereka, entah bagaimana, telah menjadi tegang dan meruncing atas sebab-sebab yang hanya diketahui oleh mereka sendiri atau orang-orang yang berhampiran dengan mereka.

“Hubungan yang tegang itu mungkin berpunca daripada personaliti Sultan atau Menteri Besar itu sendiri. Walau bagaimanapun, pastilah sukar dan merumitkan bagi seseorang Sultan untuk melaksanakan tugas-tugas perlembagaannya, terutamanya apabila baginda dikehendaki oleh Perlembagaan, untuk bertindak menurut nasihat Menteri Besarnya jika beliau tidak lagi diperkenan oleh baginda atau tidak lagi sesuai dengan baginda.

“Sebaliknya pula, Menteri Besar mungkin semata-mata berkeras hati dan hendak mempertahankan kedudukan rasminya dengan mengikut undang-undang secara ketat sehingga menimbulkan kemurkaan Sultan itu sama ada dengan wajar atau tidak.”

Perselisihan antara kerajaan dan institusi beraja ini perlu diselesaikan segera. Menurut Salleh cara paling munasabah ialah dengan undian tidak percaya di Dewan.

Salleh menyatakan, “Dengan itu, sepatutnya tidaklah perlu tempoh masa jawatannya kecuali hanya dengan pengundian tidak percaya yang diluluskan oleh Dewan Negeri sahaja yang boleh memaksanya meletakkan jawatan. Akan tetapi, pengalaman yang lalu telah menunjukkan bahawa amat sukar undian seumpama itu diluluskan dalam majlis itu.

“Dalam suasana yang demikian jentera Kerajaan Negeri boleh berhenti jika misalnya Sultan enggan memperkenankan perundangan yang telah diluluskan oleh Dewan Undangan Negeri.”

Menurut Salleh lagi, Malaysia selalu terselamat kerana biasanya pada Pilihan Raya Umum, pemimpin bermasalah akan terundi keluar dan kebuntuan antara kerajaan dan institusi beraja tidak berlarutan sehingga menyulitkan rakyat:

“Mujur juga dalam pengalaman pada masa 25 tahun selepas merdeka, jalan buntu ini telah dapat diselesaikan melaului PRU iaitu selepas seorang pemimpin parti yang baru yang diterima oleh Sultan lazimnya sebagai Menteri Besar.”

Sehubungan dengan penjelasan di atas, Salleh menyampaikan poin ketiga terpenting dalam aspek pemerintahan beraja ini. Salleh sebagai seorang yang objektif menyatakan Sultan (atau Agong) boleh menyingkirkan Menteri Besar atau Perdana Menteri yang tidak semenggah.

Biar saya petik kenyataan Salleh dalam “Unsur-Unsur Tradisi Dalam Perlembagaan Malaysia”. Beri perhatian kepada apa yang beliau nyatakan:

“Masalah ketidaksefahaman di antara Sultan dengan Menteri Besar akan sentiasa timbul pada masa hadapan kerana sebagai manusia biasa tiada siapa yang terlepas daripada melakukan kesilapan. Akan tetapi segala masalah itu tidak mengganggu perjalanan Perlembagaan, sebagaimana sepatutnya, perkara itu boleh diselesaikan dengan bijaksana sama ada Menteri yang terlibat meletakkan jawatan secara sukarela atau secara paksa atas permintaan Presiden parti yang dianggotai oleh Menteri itu.

“Mungkin tidak semestinya semua kes ketidaksefahaman di antara seorang Sultan dan Menterinya, pada zahirnya, seburuk itu, kerana kadangkala kes ketidaksefahaman itu mungkin untuk kepentingan awam bahawa seseorang Sultan mengambil pendirian sedemikian rupa, umpamanya jika Menteri Besar itu diketahui adalah korup. Dalam keadaan yang demikian, Sultan diharapkan tidak berdiam diri, kerana baginda mempunyai tugas moral yang jelas yang mesti dilaksanakan – iaitu melindungi rakyat.”

Ya, anda membacanya dengan benar; Tun Salleh Abas menyatakan Sultan mempunyai tugas untuk memecat pemimpin yang korup. Benar, korup. Tentu kurap atau cirit tidak memadai, tetapi korup satu aspek yang memadai untuk diberi perhatian.

Perenggan di atas sangat penting dalam memberikan jalan kepada apa-apa krisis politik antara kerajaan dan pemerintahan beraja. Salleh, ahli PAS menulis ini pada 1985. Jika Rakyat tersepit atau barangkali rakyat cuai membuat pilihan (kerana diperbodohkan), yang boleh menyebabkan kerajaan rosak, dan kehidupan rakyat terganggu; makanya Sultan, apatah lagi Agong mestilah melakukan tugas perpaduannya yang mencabar, dan tugas moralnya yang penting (apatah lagi sebagai ketua agama Islam) untuk tidak lagi berdiam diri.

Baginda tentulah perlu melindungi rakyat, dan dengan segera mengambil tindakan terhadap pemimpin korup. Ingatan, baginda tuanku ketua untuk semua agama dan bangsa.

Pada PRU-14, rakyat menjatuhkan kerajaan dan pemimpin dipalit skandal kewangan antarabangsa. Dalam keadaan krisis kesihatan dan kepimpinan yang barangkali memusnahkan dan membawa kepada lebih banyak tragedi, jika rakyat kelihatan tidak berdaya, tindakan menyingkirkan itu perlu dilakukan oleh Istana.

Lebih banyak masa dibiarkan, maka lebih merumitkan keadaan rakyat.

Ampun tuanku beribu-ribu ampun, saya amat yakin buku tulisan Tun Salleh Abas terbitan Dewan Bahasa dan Pustaka ini ada dalam simpanan perpustakaan peribadi Sultan Nazrin Muizzuddin Shah, iaitu Timbalan Agong. Bapa saya asal Perak. Orang Lekir. Sebagai bahagian dari rakyat berdarah Perak, saya, malah kita semua seisi rakyat mengetahui baginda tuanku Sultan Perak peminat buku dan rajin membaca.

— Artikel ini adalah pandangan penulis dan tidak semestinya mewakili KedahKini.com.

COMMENTS

Wordpress (0)
Disqus (0 )