Agong zahir ucapan tahniah kepada Cikgu Sam

Agong zahir ucapan tahniah kepada Cikgu Sam

Kejayaan guru bahasa Inggeris Samuel Isaiah dari Sekolah Kebangsaan Runchang, Muadzam Shah, Pahang yang dipilih sebagai 10 finalis Anugerah Hadiah Guru Global 2020 mendapat perhatian Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah.

Seri Paduka menzahirkan ucapan tahniah serta sukacita dan bangga atas dedikasi serta usaha murni guru muda dari Kuantan, Pahang itu dalam mendidik murid-murid sehingga terpilih sebagai calon untuk menerima anugerah tersebut, sekali gus mengharumkan nama negara di persada antarabangsa.

Datuk Pengelola Bijaya Diraja Datuk Ahmad Fadil Shamsuddin berkata, Al-Sultan Abdullah turut menzahirkan harapan semoga pencapaian hebat dan komitmen Samuel, menjadi sumber inspirasi dan contoh kepada seluruh rakyat Malaysia, khususnya para guru untuk memberi yang terbaik dan berusaha mencapai kejayaan dalam bidang masing-masing di dalam negara mahupun di persada dunia.

“Seri Paduka Baginda turut mengucapkan selamat maju jaya kepada beliau dan mendoakan semoga beliau memenangi anugerah tersebut serta dilimpahi kejayaan cemerlang berterusan dalam bidang pendidikan,” katanya menerusi kenyataan Istana Negara hari ini.

Menurut kenyataan penganjur Yayasan Varkey di London, Samuel yang lebih mesra dipanggil Cikgu Sam dipilih daripada 12,000 pencalonan daripada lebih 140 negara.

 

View this post on Instagram

 

29 Oktober 2020 – KDYMM Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong menzahirkan ucapan tahniah kepada Samuel Isaiah, guru Bahasa Inggeris Sekolah Kebangsaan Runchang di Muadzam Shah, Pahang, di atas kejayaan beliau dipilih sebagai 10 finalis Anugerah Hadiah Guru Global 2020. Al-Sultan Abdullah menzahirkan rasa suka cita dan bangga atas dedikasi serta usaha-usaha murni guru muda dari Kuantan, Pahang ini dalam mendidik murid-murid sehingga terpilih sebagai calon untuk menerima anugerah tersebut, yang sekali gus juga mengharumkan nama negara di persada antarabangsa. Sehubungan itu, Al-Sultan Abdullah menzahirkan harapan semoga pencapaian hebat dan komitmen beliau menjadi sumber inspirasi dan contoh kepada seluruh rakyat Malaysia, khususnya para guru, untuk memberi yang terbaik dan berusaha mencapai kejayaan dalam bidang masing-masing di dalam negara mahupun di persada dunia. Seri Paduka Baginda turut mengucapkan selamat maju jaya kepada beliau dan mendoakan semoga beliau memenangi anugerah tersebut serta dilimpahi kejayaan cemerlang berterusan dalam bidang pendidikan. Menurut kenyataan penganjur Yayasan Varkey di London, Samuel dipilih daripada 12,000 pencalonan dari lebih 140 negara. Anugerah yang menawarkan hadiah US$1 juta (RM4.16 juta), adalah program pengiktirafan guru dianjurkan dengan kerjasama Pertubuhan Pendidikan, Sains dan Kebudayaan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNESCO). Samuel telah memperkenalkan pelbagai inovasi untuk memberi inspirasi kepada murid-murid beliau yang terdiri daripada Orang Asli untuk menyimpan impian yang besar serta berusaha menghubungkan mereka ke dunia luar. Antara program diperkenalkan oleh beliau ialah projek pertukaran e-mel dikenali sebagai ‘Asli E-Pal’, yang mana para murid boleh berkomunikasi dalam bahasa Inggeris dengan sukarelawan yang lebih dewasa dalam dan luar negara. Manakala, program ‘Speak Up With Poetry’ (Bersuara dengan Puisi) yang diperkenalkan oleh Samuel pula ialah projek kerjasama beliau dengan penyair amatur yang menulis puisi berkaitan kebudayaan Orang Asli dan kemudiannya murid-murid boleh menonton program itu dalam bentuk video untuk pembelajaran bahasa Inggeris. Tahniah Cikgu Sam..

A post shared by ISTANA NEGARA (@istana_negara) on

–BERNAMA

COMMENTS

Wordpress (0)
Disqus (0 )