Agong zahirkan komitmen Malaysia untuk mencapai hubungan diplomatik lebih mendalam dengan Brunei
Agong zahirkan komitmen Malaysia untuk mencapai hubungan diplomatik lebih mendalam dengan Brunei

Agong zahirkan komitmen Malaysia untuk mencapai hubungan diplomatik lebih mendalam dengan Brunei

KUALA LUMPUR: Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah menzahirkan komitmen Malaysia untuk mencapai hubungan dua hala yang lebih mendalam dengan Brunei dalam bidang ekonomi dan dagangan, pendidikan dan pertahanan serta kerjasama ekonomi di Sabah dan Sarawak.

Datuk Pengelola Bijaya Diraja Istana Negara Datuk Seri Ahmad Fadil Shamsuddin berkata Al-Sultan Abdullah menzahirkan komitmen itu semasa berangkat melakukan kunjungan hormat dan pertemuan dengan Sultan Brunei Sultan Hassanal Bolkiah di Istana Brunei, London, United Kingdom pada Rabu.

Beliau berkata dalam pertemuan itu, kedua-dua pemimpin menyentuh hubungan dua hala istimewa yang erat terjalin sekian lama dan usaha-usaha pengukuhan hubungan antara Malaysia dan Brunei.

“Seri Paduka menzahirkan keyakinan bahawa aliran perdagangan dan pelaburan antara Malaysia dan Brunei boleh diperkukuhkan lagi dan banyak lagi kerjasama ekonomi dapat diterokai demi kepentingan bersama,” menurutnya dalam catatan di laman Facebook Istana Negara hari ini.

Seri Paduka berpendapat program Konsultasi Tahunan Pemimpin Malaysia-Brunei merupakan landasan penting bagi menjayakan usaha-usaha pengukuhan hubungan dua hala.

Al-Sultan Abdullah turut menzahirkan bahawa Malaysia mengalu-alukan keputusan kerajaan Brunei membuka sepenuhnya sempadan bermula 1 Ogos lepas yang memanfaatkan pergerakan rakyat kedua-dua negara, khususnya di Sarawak dan Sabah selain aktiviti-aktiviti ekonomi di sempadan kedua-dua negara.

Kali terakhir kedua-dua pemimpin bertemu adalah semasa Lawatan Negara Al-Sultan Abdullah dan Raja Permaisuri Agong Tunku Hajah Azizah Aminah Maimunah Iskandariah ke Brunei Darussalam pada Ogos.

Ahmad Fadil berkata Yang di-Pertuan Agong dan Raja Permaisuri Agong mengakhiri lawatan khas selama enam hari ke London dan berangkat pulang ke tanah air semalam.

Dalam rangka lawatan khas itu, Seri Paduka berdua berkenan menghadiri istiadat pemakaman negara Ratu Elizabeth II pada Isnin di Westminster Abbey.
— BERNAMA

(Visited 11 times, 1 visits today)

COMMENTS