Ahli politik dalangi sindikit kata bekas Ketua Polis Negara
Ahli politik dalangi sindikit kata bekas Ketua Polis Negara

Ahli politik dalangi sindikit kata bekas Ketua Polis Negara

PETALING JAYA: Bekas Ketua Polis Negara, Tan Sri Musa Hassan mendakwa masih terdapat ahli politik yang mendalangi sindiket kegiatan haram di negara ini.

Bercakap kepada Mingguan Malaysia, Musa yang mengetuai pasukan polis dari 2006 hingga 2010 berkata, ketika memegang jawatan itu, terdapat ahli politik yang mendalangi kumpulan sindiket pelacuran dan perjudian.

Menurut beliau, ketua kumpulan penjenayah yang paling dikehendaki di Kuala Lumpur, Four Heavenly Kings ketika itu mempunyai hubungan dengan ahli politik di negara ini.

Katanya, semasa menjawat jawatan Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah, beliau telah menangkap ketua kumpulan penjenayah itu dan kini banduan itu sudah dibebaskan.

“Sehingga kini ketua kumpulan Four Heavenly Kings masih mempunyai hubungan rapat dengan ahli politik ter­tentu di negara ini.

“Dia dipercayai ada connection (rangkaian) dengan beberapa ahli politik tanah air. Bagaimana saya tahu walaupun sudah bersara? Orang ramai masih menelefon saya dan memberi maklumat.

“Kumpulan ini berbahaya, terlibat dalam pelbagai akti­viti haram. Antaranya, mereka mendalangi kegiatan dadah, perjudian, pelacuran dan kelab-kelab malam.

“Penguasaan mereka sa­ngat ketara, malah mana-mana kumpulan gengster kecil harus melalui kumpulan ini dahulu. Jika tidak, mereka akan diganggu, malah boleh melarat menjadi pertempuran di antara kumpulan,” kata Musa yang juga Presiden Malaysia Community Crime Care (MCCC), sebuah badan bukan kerajaan yang membantu mencegah jenayah.

Musa seterusnya berkata, ketika menjadi Ketua Polis Negara, pihak polis mendapati ketua-ketua sindiket ber­kenaan menjadi sumber kewangan kepada segelintir ahli politik.

“Mereka ini (kumpulan sindiket) merupakan sumber kewangan bagi ahli politik. Saya cakap terus terang dalam hal ini, orang nak marahkan saya, marahlah. Sebab ini yang saya alami.

“Apabila saya mengambil tindakan, segelintir orang politik marahkan saya. Pasal apa tangkap kawan dia? Jadi saya kata, saya nak kuatkuasakan undang-undang. Saya tak kira kawan siapa. Kalau orang politik sendiri terlibat, saya akan tangkap orang politik,” katanya.

Musa turut berkongsi pe­ngalamannya didatangi seorang ahli politik yang meminta polis membatalkan saman ter­hadap pengundi di kawasannya.

“Pernah ada wakil rakyat datang jumpa saya beri saman, suruh saya batalkan saman itu. Dia bawa kepada saya rakyat punya saman dan minta saya batalkan.

“(Apabila saya tidak layan tuntutan itu) dia mendakwa pihak polis pula tiada hati perut. Polis saman orang naik motor tak pakai topi keledar, jadi dia beri saya 100 saman untuk dibatalkan.

“Saya katakan kepada YB (Yang Berhormat itu), ini saman kerajaan punya, saya tak boleh batalkan.

“Saya beritahu beliau, kalau YB seorang yang baik hati, YB tolong bayarkan saman-saman ini. Saya suruh dia bayarkan dan beritahu nanti saya akan turun ke kawasan YB, beritahu kepada rakyat di sana bahawa YB seorang wakil rakyat yang bagus. Apa-apa saman, serah kepada dia,” katanya.

Justeru, dalam merumuskan pendedahannya itu, Musa mengingatkan, bagi membebaskan institusi polis dari cengkaman luar, pihak atasan perlu bertegas untuk tidak menerima sebarang arahan daripada orang politik.

Berita penuh : Utusan

(Visited 8 times, 1 visits today)

COMMENTS