Aidil Sharin tekad memantapkan jentera pertahanan

Aidil Sharin tekad memantapkan jentera pertahanan

Kedah Darul Aman FC (KDA FC) kini fokus memperkukuhkan jentera pertahanannya apabila dua tonggak utama kini dilihat sudah bersedia kembali bersama pasukan untuk mengharungi aksi Liga Super bertemu Sri Pahang di Stadium Darul Aman pada 2 April depan.

Ketua jurulatih Kedah Darul Aman FC (KDA FC) Aidil Sharin Sahak berkata, kehadiran semula pemain pertahanan import Renan Alves dan Ariff Farhan ke dalam pasukan yang masing-masing mengalami kecederaan peha dan kepala sebelum ini bakal memberi semangat tambahan.

Kecederaan yang dialami itu memaksa Aidil Sharin melakukan beberapa perubahan drastik di bahagian pertahanan sebelum ini antaranya menampilkan pemain lain seperti Amirul Hisyam, Fairuz Zakaria dan Fandi Othman pada posisi berkenaan.

“Mereka berdua (Renan dan Ariff) kini sudah pulih dan boleh dipilih untuk beraksi kembali bersama pasukan selepas Liga Super bersambung semula pada 2 April ini.

“Saya bersyukur dan gembira kerana kedua-dua pemain ini bakal kembali memperkuatkan pasukan selepas ini selepas mereka terlepas peluang beraksi dalam Liga Super yang bermula dengan cukup sengit.

“Sudah pasti dengan kehadiran mereka bersama pasukan selepas ini akan melengkapkan lagi perancangan benteng pertahanan bersama pemain sedia ada, dan sekali gus memberi motivasi buat seluruh pasukan dalam menghadapi perlawanan seterusnya.” katanya.

Dalam perkembangan yang sama KDA FC kini memanfaatkan tempoh rehat selama 12 hari dengan mengadakan latihan bagi meningkatkan lagi tahap permainan dan memperbaiki setiap elemen kelemahan yang ada sebelum liga bermula kira kira lima hari lagi.

Media rasmi kelab berkenaan juga melaporkan perancangan rapi sedang diusahakan barisan kejurulatihan bagi meneruskan momentum, termasuk mengadakan aksi latihan dalaman bersama skuad KDA FC Bawah 21 tahun dua hari lalu bagi mengekalkan tahap kecergasan serta memperbaiki fokus semua pemain.

“Tempoh 12 hari tanpa perlawanan Liga Super akan digunakan sebaiknya dengan mengatur beberapa perlawanan latihan supaya kesungguhan pemain dapat ditingkatkan berbaki enam perlawanan lagi untuk pusingan pertama.

“Bermula 2 April, KDA FC akan beraksi dalam tiga perlawanan dalam tempoh seminggu, dua perlawanan di bulan Ramadan dan satu perlawanan selepas Hari Raya iaitu hari ke-5 di bulan Syawal.” katanya. -HM

COMMENTS

Wordpress (0)
Disqus (0 )