Aidil tuntut Kedah terus bangkit
Aidil tuntut Kedah terus bangkit

Aidil tuntut Kedah terus bangkit

Kedah Darul Aman FC tidak melihat kekalahan di tangan Bali United sebagai penamat perjuangan mereka dalam saingan Piala AFC apabila yakin akan bangkit dalam dua aksi berikutnya.

Pengendali Kedah, Aidil Sharin Sahak berkata, kekalahan 0-2 dalam aksi pertama Kumpulan G yang berlangsung di Stadium Kapten I Wayan Dipta di Gianyar, Bali malam tadi itu akan dijadikan tonik kebangkitan untuk perlawanan kedua menentang Kaya Iloilo FC dari Filipina, Isnin ini.

Baca Juga: 3 pemain baru mampu bantu Kedah di Piala AFC atau sebaliknya?

Jelasnya, pasukannya tidak akan mudah ‘mengibar bendera putih’ apabila sebaliknya akan turun dengan aksi lebih bertenaga nanti.

“Apabila kamu tewas pada aksi pertama kamu perlu bangkit pada aksi berikutnya dan kita perlu fokus kerana Kaya FC juga tewas pada aksi pertama mereka.

“Saya rasa peluang masih terbuka, kita juga perlu melihat saingan di kumpulan lain yang mana ada yang mendapat keputusan seri.

“Jadi peluang masih lagi terbuka dan pemain perlu percaya untuk bangkit pada aksi seterusnya,” katanya yang berjaya meraih slot ke Piala AFC musim ini selepas membawa Kedah muncul naib juara Liga Super musim lalu.

Bali United yang mendapat sokongan padu penyokong tuan rumah berjaya meraih dua gol hasil jaringan sendiri penyerang Kedah, Ronald Ngah di babak pertama sebelum Muhammad Rahmat menambah gol di 10 minit terakhir babak kedua.

Ujar Aidil lagi, dua gol yang diraih lawan adalah hasil kesilapan pemain yang tidak fokus ketika bertahan.

“Gol pada penghujung separuh masa pertama dan gol kedua pada penghujung separuh masa kedua juga disebabkan kita hilang tumpuan tetapi kita harap pemain belajar dari perlawanan ini,” katanya.

Kekalahan itu meletakkan Kedah di tangga tercorot kumpulan, sementara Bali United menghuni kedudukan teratas.

Baca Juga: Aidil yakin Sanrawat bakal menyinar bersama Kedah menjelang Piala Afc

Kelab Kemboja, Visakha FC turut mengumpul tiga mata selepas menewaskan Kaya Iloilo 2-1 pada aksi pertama untuk berada di kedudukan kedua.

Selepas aksi dengan Kaya Iloilo Isnin ini, anak didik Aidil akan menutup tirai kumpulan bertemu Visakha FC Khamis ini.

(Visited 736 times, 1 visits today)

COMMENTS