Aidil tuntut Kedah terus konsisten
Aidil tuntut Kedah terus konsisten

Aidil tuntut Kedah terus konsisten

Alor Setar: Ketua Jurulatih Kedah Darul Aman FC (KDA FC) Aidil Sharin Sahak mahu pemainnya terus berada pada tahap konsistensi terbaik selepas skuad Sang Kenari melakar kemenangan kedua dengan menewaskan Kuala Lumpur City FC (KL City) dengan keputusan 3-2 pada saingan Liga Super di Stadium Darul Aman semalam.

Beliau yang mengakui pemainnya semakin mendapat rentak persefahaman yang baik sebaik mencatatkan dua rekod kemenangan pada musim ini berharap agar pemainnya tidak mudah ‘lupa diri’ dan sebaliknya terus berdisiplin berusaha memperbaiki setiap kelemahan yang ada dalam pasukan.

“Beraksi menentang KL City adalah perlawanan yang tidak mudah buat kami sebenarnya dan anda boleh lihat rekod prestasi pertahanan mereka yang baik yang telah dicatatkan pada musim lalu.

“Namun selepas ketinggalan satu gol, kami terus berusaha dan akhirnya berjaya bangkit kembali dengan tiga gol dan mengatasi keadaan sukar yang dijangkakan sebelum ini.

“Saya bersyukur kerana objektif tiga mata kami tercapai, dan apa yang lebih penting adalah terus perbaiki tahap permainan dan saya menuntut agar pasukan terus konsisten dan bekerja keras dalam menghadapi perlawanan seterusnya selepas ini.” katanya pada sidang media selepas tamat perlawanan.

Aidil juga memuji tahap perkembangan beberapa muka baharu yang dibawa masuk dalam pasukan dan sedang memberi impak terbaik mereka dalam menyaingi kedudukan dalam pasukan.

“Seperti dalam perlawanan ini, kita lihat Al-Hafiz Harun dan Azmeer Aris yang beraksi dalam kesebelasan utama kali ini menunjukkan karektor terbaik dalam peningkatan permainan mereka berbanding berada di bangku simpanan pada perlawanan pertama ketika menentang Sarawak United.

“Kita mahukan persaingan yang sihat dan semangat juang tinggi dikalangan semua pemain dalam menyaingi kelayakan untuk bersedia berada di posisi masing-masing apabila diperlukan.” katanya.

Disamping itu, Aidil juga meluahkan keyakinan terhadap peningkatan permainan penyerang berbisa Syafiq Ahmad yang semakin menyerlahkan kemampuannya selepas meledak gol pertama Kedah di laman sendiri pada kali ini.

“Tugas saya di sini adalah untuk membantu membangunkan bola sepak di Malaysia, di mana Kedah juga membantu Syafiq Ahmad yang mahu pulang bersama Kedah dan beliau adalah pemain yang cukup berpotensi untuk menyerlah kemampuannya lebih jauh bersama skuad negara.” katanya.-HM

(Visited 17 times, 1 visits today)

COMMENTS