Air pasang besar, beberapa kawasan Kuala Kedah ditenggelami air

Air pasang besar, beberapa kawasan Kuala Kedah ditenggelami air

ALOR SETAR: Fenomena air pasang besar sejak semalam menyebabkan kawasan Kuala Kedah ditenggelami air.

Tinjauan di sekitar pekan ini mendapati, kawasan berhampiran jeti Kuala Kedah di sini mula dinaiki air dan kawasan pelantar ikan di Kampung Seberang Kota, turut digenangi air laut setinggi 0.3 hingga satu meter.

Peniaga ikan, Khadijah Md Shah, 45, berkata kejadian sejak semalam antara jam 11.30 pagi hingga 3 petang dan air laut akan surut selepas itu.

Katanya, peniaga ikan dan nelayan di kawasan itu pulang awal kerana kawasan pelantar ditenggelami air sehingga sekata dengan paras pelantar.

“Biasanya air pasang akan menyebabkan ombak besar di tengah laut dan hasil nelayan kurang.

“Minggu lalu ribut di tengah laut dan hasil nelayan berkurangan, hanya jual apa yang dapat,” katanya ketika ditemui di pelantar ikan Kampung Seberang Kota, di sini hari ini.

Pengunjung luar yang sedang menikmati makan tengah hari di kedai berhampiran pelantar itu tidak sempat berbuat apa-apa apabila terpaksa makan dalam air ketika air laut mula memenuhi perkarangan kedai makan berkenaan.

Fenomena itu dianggap biasa oleh nelayan dan kedai makan di sekitar kawasan itu, namun luar biasa bagi pengunjung luar yang datang ke kawasan itu.

 

Nelayan mendapat hasil berkurangan berikutan femomena ombak besar di Kuala Kedah.- Foto/Zuliaty Zulkifli
Nelayan mendapat hasil berkurangan berikutan femomena ombak besar di Kuala Kedah.- Foto/Zuliaty Zulkifli

 

Saiful Ismail, 38, berkata dia datang bersama keluarganya untuk membeli ikan di pelantar ikan berkenaan sambil makan tengah hari, namun tidak sempat berbuat apa-apa.

Katanya, ini pengalaman baru kerana makan dalam suasana berendam kaki dalam “air laut.”

“Memang seronok tapi habis kasut basah sebab tak sempat nak buat apa air laut dah penuh kawasan ini. Air mengalir sangat deras dan suasana ini boleh dirasai ketika air pasang saja,” katanya.

Nelayan, Zainurin Din, 48, dia menangkap ikan sejak jam 6.30 pagi terpaksa pulang awal dan hasil hanya 20 kilogram (kg) ikan, hari ini.

Katanya, dia hanya bergerak di kawasan pesisir Kuala Kedah dan tak berani keluar jauh sebelum kerana bimbang perubahan monsun timur laut yang boleh menyebabkan ombak besar berlaku tiba-tiba.

Penolong Pengarah Bahagian Operasi Kebombaan dan Penyelamat, Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Kedah, Penguasa Kanan Bomba I Mohamadul Ehsan Mohd Zain, menasihatkan nelayan dan orang ramai supaya berhati-hati dengan perubahan monsun timur laut, berlaku pada Oktober hingga November ini.

Katanya, air pasang besar turut memberi kesan di kawasan Kuala Kedah dan Kuala Muda turut terjejas.

“Dijangkakan ombak setinggi hampir tiga meter berlaku di kawasan laut dan boleh membahayakan keselamatan nelayan bot kecil dan segala aktiviti riadah di pantai perlu dijauhi ketika ini.

“Orang ramai perlu berhati-hati ketika melakukan riadah dan tidak mengunjungi 18 lokasi pusat peranginan di negeri ini sekiranya cuaca tidak menentu,” katanya.

 

Berita penuh : BeritaHarian

COMMENTS

Wordpress (0)
Disqus (0 )