Aksi KDA FC-JDT berlangsung tanpa kehadiran penonton kerana PKP

Aksi KDA FC-JDT berlangsung tanpa kehadiran penonton kerana PKP

Aksi Liga Super di antara Kedah Darul Aman (KDA) FC dan Johor Darul Ta’zim (JDT) di Stadium Darul Aman, Alor Setar pada Selasa ini akan diadakan tanpa kehadiran penonton susulan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

Ketua Pegawai Eksekutif MFL Datuk Ab Ghani Hassan berkata MFL akan mengetatkan pematuhan prosedur operasi standard (SOP) dengan mengaktifkan semula SOP Pengelolaan Perlawanan Tanpa Penonton bagi kawasan PKP.

Ini termasuk tahap disiplin pematuhan gelembung sukan melibatkan pegawai dan pemain kedua-dua pasukan, selain Ujian RTK Antigen pegawai serta petugas perlawanan terlibat perlu dibuat sehari sebelum atau pada hari perlawanan.

“SOP Pengelolaan Perlawanan Tanpa Penonton diaktifkan semula sepanjang tempoh pelaksanaan PKP ini sehingga perkembangan terbaharu diumumkan pihak kerajaan kelak.

“Saya berharap semua pihak terlibat akan terus mematuhi segala SOP yang ditetapkan bagi keselamatan dan kesihatan diri masing-masing serta kelancaran saingan Liga Malaysia musim ini,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Semalam, kerajaan memutuskan untuk melaksanakan PKP di lima daerah di Kedah iaitu Kota Setar, Kuala Muda, Bandar Baharu, Baling dan Kulim selama dua minggu berkuat kuasa esok, susulan penularan jangkitan melibatkan beberapa kluster yang menyumbang kepada peningkatan kes di kelima-lima daerah berkenaan.

Dalam pada itu, MFL mengesahkan tiada jualan tiket dibenarkan dan tiket-tiket yang telah terjual akan dibayar balik oleh pihak TicketHotline International.-BERNAMA

COMMENTS

Wordpress (0)
Disqus (0 )