Alena Murang julang nama Malaysia, satukan bangsa menerusi muzik dan seni
Alena Murang julang nama Malaysia, satukan bangsa menerusi muzik dan seni

Alena Murang julang nama Malaysia, satukan bangsa menerusi muzik dan seni

BERDARAH kacukan Dayak-Kelabit, namun empunya diri cukup kuat mengagungkan tanah tumpah darahnya dengan memperjuangkan muzik etnik Kelabit dan Kenyah.

WAJAH Pan Asian yang dimilikinya cukup manis dipandang. Individu yang penuh dengan semangat nasionalisme itu ialah Alena Murang, sebutir permata seni yang dilahirkan di Bumi Kenyalang.

Jika ditelusuri, kehidupan Alena serba sederhana. Beliau dikelilingi dengan persekitaran hutan semula jadi. Situasi itu sekali gus membuatkannya sudah terbiasa hidup bersama masyarakat berbilang kaum yang menuturkan variasi bahasa.

Justeru, sempena Hari Kemerdekaan Negara yang ke-65, wajarlah Alena menjadi penghias muka depan SinarPlus.

Kepada penulis, wanita penuh pesona itu mengakui cukup berbangga kerana menjadi sebahagian daripada warga yang lahir dalam sebuah negara yang unik.

“Malaysia adalah sebuah negara yang terdiri daripada pelbagai kaum, agama dan bangsa. Namun, menariknya mereka dapat hidup bersama dalam suasana yang cukup aman dan bersatu. Inilah hasil usaha generasi sebelum ini yang memperjuangkan kemerdekaan negara sehingga dapat dikecapi sehingga kini.

“Hubungan baik sesama rakyat sebenarnya lahir daripada semangat kecintaan dan rasa hormat antara satu sama lain. Saya memang rasa bertuah menjadi rakyat Malaysia kerana jika dibandingkan dengan apa yang kita kecapi dengan negara luar, kita jauh lebih baik daripada mereka. Tiada peperangan atau berada dalam situasi yang sangat genting atau sukar,” katanya yang kelihatan cukup berkobar-kobar tatkala bercerita tentang perihal hal merdeka.

Sebagai seorang komposer, pelukis, penerbit dan penyanyi bertaraf antarabangsa, nampaknya Alena teruja bercakap tentang perkaitan di antara muzik dan kemerdekaan.

“Kalau diikutkan, muzik dan seni merupakan satu instrumen yang boleh memupuk perpaduan. Ia juga merupakan elemen yang cukup berkuasa untuk menyampaikan mesej dalam membawa semua orang tidak mengira bangsa atau agama untuk bersatu padu,” ujar Alena yang terkenal dalam memartabatkan alat muzik sape di peringkat nasional dan dunia.

Sengaja bertanya sama ada beliau memasang impian untuk menghasilkan lagu-lagu yang berunsurkan patriotisme demi menyemarakkan lagi aura kemerdekaan, anak seni berusia 33 tahun itu berkata, beliau sebenarnya sudah lama berbuat demikian.

“Kalau anda menghayati muzik dan lagu yang saya hasilkan selama ini terutama lagu tradisonal kaum Kenyah atau Kelabit, memang selalu menceritakan tentang hal kemasyarakatan, hidup bersama-sama dalam suasana yang cukup harmoni. Bahkan itulah juga lagu-lagu yang sering saya bawa ketika mendapat tawaran membuat persembahan sewaktu sambutan Hari Merdeka atau Hari Malaysia sebelum ini,” katanya dengan nada penuh patriotik.

Ungkap Alena, tiada perkataan yang dapat menggambarkan betapa beliau berasa beruntung menjadi waris kepada sebuah negara merdeka. Justeru, tegasnya, tiada sebab untuk tidak meraikan hari sejarah pembebasan negara yang penuh bersejarah.

“Oleh yang demikian, saya menyeru kepada semua pihak untuk sama-sama menghayati erti kemerdekaan negara yang sebenar. Tolong jangan anggap 31 Ogos sebagai cuti umum biasa dan jangan biarkan detik itu berlalu begitu sahaja.

“Untuk diri saya sendiri, kalau diikutkan saya sedikit ralat kerana sebagai artis, jujurnya saya tiada cuti memandangkan pada waktu itu saya menjadi sebahagian daripada sambutan perayaan dengan membuat persembahan,” seloroh Alena dengan gelak tawa manja.

JULANG NAMA MALAYSIA

Penulis menoktahkan cerita mengenai Hari Merdeka buat sementara waktu. Soalan berkaitan seni sape pula diajukan. Kata orang alat muzik sape dan Alena tidak dapat dipisahkan.

Terlebih dulu, empunya diri mengakui alunan muzik etnik Sarawak yang dibawanya bukanlah genre popular, apatah lagi menjadi halwa telinga masyarakat tempatan.

“Seni sape memang berbeza dan di Malaysia memang tidak dapat dinafikan, ia sukar diterima. Pun begitu, saya tidak kisah dan sentiasa mahu berkongsi ilmu supaya orang ramai lebih mendalami budaya negara sendiri.

“Tidak timbul soal orang luar lebih mengagungkan budaya dan muzik masyarakat kita. Namun, apa yang saya boleh kongsikan, sambutan masyarakat antarabangsa cukup baik, mereka sangat suka dengan rentak muzik sape,” ujarnya.

Mengimbau sedikit tentang bagaimana beliau mula merapatkan diri dengan alat muzik bertali itu, Alena berkata, ibu tersayang ialah tunjang utama yang perkenalkannya.

Daripada minat melukis dan meniup saksafon, tuan punya badan menambah lagi cabang instrumen muzik dengan mempelajari mengendalikan sape yang merupakan alat muzik tradisional masyarakat Orang Ulu di Baram, Miri.

“Dalam keluarga, tiada siapa yang bergelar pemuzik dan tahu bermain sape. Justeru, bidang ini (muzik) dijadikan sebagai hobi sahaja. Tidak sangka, arena muzik menerajui hidup saya, sekali gus dikenali sebagai pemain sape profesional,” katanya yang pernah menyambung pengajian dalam bidang pengurusan selama lima tahun di Manchester, UK dan pernah bekerja di sektor korporat.

Kini, Alena dan barangkali ibunya mampu tersenyum lebar. Pelbagai onak dan ranjau yang dilalui selama ini berbalas dengan kejayaan. Pencapaian yang diraih juga bukan sembarangan.

Pada tahun lalu, beliau mengharumkan nama negara apabila video muziknya bertajuk Warrior Spirit berjaya dinobatkan sebagai Video Muzik Asia dan Pasifik Terbaik termasuk menerima Anugerah Khas Untuk Kostum Terbaik pada International Music Video Awards di United Kingdom.

Tidak sekadar itu sahaja, Alena turut meraih kejayaan apabila menerima Anugerah Khas Juri pada Anugerah Filem Los Angeles, Amerika Syarikat (AS); Video Muzik Terbaik pada Anugerah Filem Antarabangsa Rome, Itali termasuk Video Muzik Terbaik dan Filem Etnografik Terbaik pada Anugerah Filem Antarabangsa New York, AS.

Pengiktirafan yang diterima itu jelas berpaksikan bakat dan kemahiran yang bukan calang-calang. Tunduk tersenyum saat kata-kata pujian dilayangkan, Alena berkata, dirinya cukup terharu dan berbangga kerana niat mengetengahkan budaya etnik Borneo dalam video muzik yang diarah sepupunya, Sarah Louis Dorai mendapat perhatian antarabangsa.

“Melalui video muzik ini, saya cuba mengetengahkan semangat pejuang yang dipinjam daripada datuk kepada moyang saya, Balung Nganud iaitu seorang pendekar yang hebat dan amat dikenali pada zamannya.

“Sebagai insan yang cintakan seni dan budaya, elemen itu saya selitkan dalam susunan muzik, busana dan koreografi tarian yang saya fikir sangat sesuai untuk naskhah ini,” tuturnya.

IKON

Sesuai dengan kesungguhan dan pengorbanan wanita yang menggemari rona hijau itu, ramai yang tidak menolak seandainya Alena diangkat menjadi ikon dalam menyatukan bangsa menerusi muzik. Tatkala diberitahu tentang pandangan itu, beliau nyata terkejut dan kemudian tersipu malu.

“Dianggap ikon? Oh! Terharunya saya (ketawa malu). Namun, apa yang saya boleh katakan, saya amat berharap golongan muda dapat melihat bidang muzik tradisional sebegini tetap boleh berjaya, cuma kena lebih kreatif dan harap mereka mendapat inspirasi daripada apa yang mereka saksikan,” katanya.

Alena memberitahu, jika pada era dahulu, laluan untuk membawa muzik sepertinya agak sukar. Pun demikian, kini telah dipermudahkan, lebih-lebih sudah wujud geran khas daripada Tourism Sarawak.

Seronok dengan apa yang dilakukan sekarang, tuan punya badan tiada perancangan untuk beralih bidang. Fokusnya memang 100 peratus ke arah muzik.

“Tiada istilah me time dalam hidup ini kerana saya sibuk dengan urusan kerja.Jika ada masa terluang sekalipun, saya akan fokus dengan melukis, selain bermain dengan kucing,” ujarnya.

Dalam pada itu, sebelum diberi ruang mengadakan wawancara eksklusif bersama beliau, Alena melancarkan tayangan perdana video muzik terbaharunya bertajuk Put Burui.

Lagu tersebut yang dimuatkan dalam album terbaharunya, Sky Songs (2021) itu adalah gubahan Joshua Maran dan diperindahkan dengan alunan seruling, Niko Coyez serta petikan sape Alena.

Namun, paling mencuri mata penulis adalah pakaian yang disarungnya. Ia direka oleh pereka fesyen kelahiran Sarawak, Edric Ong.

Sebagai usaha untuk melestarikan penjagaan alam semula jadi, Alena berkata, beliau menggayakan busana yang diperbuat daripada serat semula jadi, terutamanya baju daripada Pua Kumbu berwarna merah. Baju sulaman tangan berona perang muda pula menggunakan teknik songket Sarawak oleh para artisan Tanoti.

Di samping itu, beliau mengenakan perhiasan diperbuat daripada biji-bijian dan kulit cangkerang ciptaan Edric, Nasha Prive dan penggubah aksesori Orang Asli Temuan, Leny Maknoh. Setiap butiran perhiasan telah diatur oleh pakar stail juga pengasas Hellostylar, Saerah Ridzuan.

Ah! Cukup lengkap dalam memartabatkan warisan seni zaman berzaman. Digelar sebagai pejuang warisan, Alena memberitahu, beliau gembira dan sesekali tidak akan jemu memperkenalkan seni daripada sukunya.

“Segala yang dilakukan termasuk seni sape ini ibarat tanggungjawab saya untuk memperkenalkan keunikan muzik Malaysia yang bervariasi, walaupun sebenarnya sangat susah untuk berbuat demikian, tetapi saya nekad untuk meneruskannya,” ujar Alena.

(Visited 29 times, 1 visits today)

COMMENTS