AMANAH Kedah bantu kempen di PRN Sabah
AMANAH Kedah bantu kempen di PRN Sabah

AMANAH Kedah bantu kempen di PRN Sabah

Parti Amanah Negara Negeri Kedah turut menyertai kempen pilihanraya negeri Sabah dengan turun membantu jentera pilihanraya bagi kawasan Dewan Undangan Negeri N24 Tanjung Keramat yang diwakili calonnya, Rosdy Bin Wasly. Beliau merupakan calon tunggal mewakili Parti Amanah Negara yang bertanding di bawah lambang Warisan.

Pagi ini, delegasi Amanah Negeri Kedah itu yang diketuai Timbalan Pengerusi Amanah Negeri, Dato’ Dr Ismail Salleh turun menyantuni pengundi dan orang ramai di Pasar Tamu Putatan, Kg Pasir Putih, Putatan.

Dato’ Dr Ismail Salleh bersama calon N24 Tanjung Keramat, Rosdy Bin Wasly turun menyantuni pengundi di Pasar Tamu Putatan

Beliau yang juga ADUN Pengkalan Kundor berkata, ada dikalangan pengundi yang ditemui memberikan kata-kata semangat dan menaruh harapan yang tinggi kepada calon supaya dapat berkhidmat mewakili mereka dengan cemerlang.

“Kita bawakan calon tempatan yang lebih mudah didekati dan sanggup berhenti kerja untuk berjuang demi anak kampungnya. Alhamdulillah, kita mendapat sambutan yang amat baik dari masyarakat DUN Tanjung Keramat yang semuanya ramah dan santun,” tambah beliau lagi.

Sementara itu, Setiausaha Amanah Kedah, Asmirul Anuar Aris yang turut bersama dalam kempen itu menyatakan, sepatah perkataan yang sering menjadi sebutan penduduk apabila melihat kelibat mereka yang datang berkempen dengan memakai baju lambang Warisan ialah ‘TATAP’ (tetap) yang membawa maksud keinginan mereka untuk mengekalkan kerajaan yang sedia ada selaku Datuk Seri Panglima Shafie Apdal sebagai Ketua Menteri Sabah.

Asmirul (kanan) beramah mesra dengan pengundi di Pasar Tamu Putatan

 

Beliau turut optimis bahawa Warisan akan mengekalkan tampuk pemerintahan bersama-sama rakan dalam Pakatan Harapan di Sabah berdasarkan sentimen semasa pengundi.

Pilihanraya negeri sabah ke-16 ini diadakan susulan pembubaran DUN yang diumumkan Ketua Menteri Datuk Seri Mohd Shafie Apdal, 30 Julai lalu, sehari selepas beberapa adun kerajaan mengumumkan melompat parti dan menyertai parti pembangkang.

Sebahagian pimpinan Amanah negeri Kedah yang turun ke Sabah bagi membantu kempen pilihanraya negeri itu

(Visited 19 times, 1 visits today)

COMMENTS