
Amanah Kedah cipta sejarah, terima ijazah hadith politik
Amanah Kedah semalam mencipta sejarah apabila berjaya menghimpunkan hampir 150 peserta terdiri daripada para pimpinan dan asatizah parti itu untuk menerima ijazah hadith berkaitan politik dan kepimpinan.

Dalam majlis yang diadakan di Pondok Mujammak Ibnu Sunni Lil Talaqqi, Sungai Jagung, Pendang itu, Tuan Guru Hj Abdul Rahim bin Abd Rahman telah mengijazahkan 15 hadith berkaitan politik secara bersanad daripada 6 kitab.
Menurut Pengarah Komunikasi Amanah Kedah, Ridzwan Abu Bakar, majlis itu menghimpunkan para peserta dari seluruh negeri Kedah, termasuk bakal-bakal calon parti itu bagi pilihanraya akan datang.
Program itu juga bagi menunjukkan komitmen dan kesungguhan Parti Amanah Negara untuk menjadi peneraju dalam politik Islam di negara ini.

“Kita mengucapkan jutaan terima kasih kepada Tuan Guru kerana sudi menerima delegasi dari Amanah dan mengijazahkan hadith-hadith berkaitan politik ini kepada para peserta. Insyaallah, program seumpama ini kita akan teruskan bagi meletakkan Amanah sebagai parti politik utama bagi umat Islam di negara ini,” ujar beliau yang juga ahli Jawatankuasa Pimpinan Amanah Nasional.

