AMANAH Pengkalan Kundor siap sedia hadapi pilihan raya

AMANAH Pengkalan Kundor siap sedia hadapi pilihan raya

Parti Amanah Negara di Dun Pengkalan Kundor mempersiapkan barisan jentera pilihanrayanya bagi menghadapi pilihanraya umum ke 15. Menurut Ahli Dewan Undangan Negeri Pengkalan Kundor, YB Dato’ Dr Ismail Salleh, jentera pilihanraya bagi Dun itu kini berada dalam mood bersedia.

“Kita bersedia mempertahankan kemenangan di DUN ini dan kita amat yakin perkara itu boleh dilaksanakan berdasarkan mood rakyat yang menolak politik khianat dan budaya lompat parti yang telah menjatuhkan kerajaan pilihan rakyat,” ujar beliau lagi.

Beliau berkata demikian dalam satu majlis ringkas menaikkan bendera Amanah dan perasmian mini billboard di hadapan pejabat Dun Pengkalan Kundor dan Amanah Kuala Kedah yang telah disempurnakan oleh Pengerusi Amanah Negeri Kedah, YB. Dato’ Phahrolrazi Zawawi.

Sementara itu, YB. Dato’ Phahrolrazi menyeru setiap rakyat di negeri Kedah khususnya, segera mendaftar sebagai ahli Amanah untuk memperkuatkan parti dalam menghadapi pilihanraya umum akan datang.

“Amanah sudah pun melalui tempoh 5 tahun dan sudah dikenali oleh masyarakat, sudah sampai masa untuk rakyat memberi sokongan kepada Amanah dengan menjadi ahli Amanah. Itulah harapan kita supaya Parti Amanah Negara menjadi parti yang kuat dan berada di arus perdana untuk membolehkan parti ini berperanan membawa negara ke arah yang lebih adil, bebas rasuah, penyelewengan dan sebagainya”

Turut hadir dalam majlis itu, Ketua Amanah Kawasan Kuala Kedah, Tuan Haji Saedi Azizan.

Untuk rekod, pada pilihan raya umum ke 14, Pakatan Harapan berjaya menguasai negeri Kedah melalui gabungan antara Parti Peribumi Bersatu Malaysia (PPBM), Amanah, PKR dan DAP namun kerajaan pilihan rakyat itu tumbang setelah 2 orang Adun PKR melompat keluar menyertai PPBM yang mengumumkan menarik diri dari gabungan Pakatan Harapan.

Sementara itu dalam pilihan raya lalu, Dun Pengkalan Kundor dimenangi oleh YB Dato’ Dr Ismail Salleh yang mewakili Pakatan Harapan (Amanah) dengan majoriti 2,490 undi menewaskan Ahmad Fakhruddin Bin Fakhrurazi dari Pas dan Abdul Halim Bin Said yang mewakili Barisan Nasional.

COMMENTS

Wordpress (0)
Disqus (0 )