AMARAN!: Dadah bukan jalan mudah untuk wanita kurus
AMARAN!: Dadah bukan jalan mudah untuk wanita kurus

AMARAN!: Dadah bukan jalan mudah untuk wanita kurus

Percaya dadah dapat melangsingkan badan menjadi penyumbang peningkatan jumlah penagih dadah dalam kalangan wanita sejak tahun lalu berbanding tahun sebelumnya di negeri ini.

Pengarah Agensi Anti Dadah Kebangsaan (AADK) Terengganu, Rosland Hussen berkata, pada 2018 hanya 947 daripada 24,972 penagih dadah adalah wanita, namun angka itu menunjukkan peningkatan pada tahun 2019 iaitu seramai 1,127 daripada 25,809 jumlah penagih dadah keseluruhan.

“Keghairahan untuk kurus dan mudah terpengaruh antara faktor penyumbang kepada peningkatan penyalahgunaan dadah dalam kalangan wanita.

“Dadah yang gemar diambil mereka adalah jenis syabu kerana ia menjadikan pengambilnya kurang selera makan dan sekiranya diambil secara berterusan menyebabkan fizikal seseorang itu menjadi cengkung.

“Selain itu, wanita mudah terpengaruh kononnya ada beberapa jenis dadah yang mampu menjadikan seseorang itu kurus menyebabkan mereka sanggup mengambil dan mengamalkannya,” katanya ketika dihubungi Sinar Harian di sini hari ini.

Selain ingin kurus, Rosland berkata, pengambilan dadah dalam kalangan wanita meningkat adalah disebabkan pengaruh rakan serta suami atau pasangan masing-masing.

Katanya, beberapa faktor lain menjadi alasan penagih dadah ketagih mengambil barang terlarang ini termasuk pengaruh kawan, perasaan ingin tahu, mendapatkan keseronokan, tekanan jiwa dan secara tidak sengaja.

“Pihak kami juga mendapati ramai penagih dadah hari ini menyalah guna dadah adalah disebabkan faktor berasaskan pekerjaan masing-masing untuk hiburan, kurangnya didikan agama dan masalah kewangan yang dihadapi.

“Ada juga memberi alasan disebabkan faktor penderaan untuk perubatan (menahan sakit atau ketahanan badan), rindu, hubungan seks, menjadi mangsa penganiayaan, tiada ilmu tentang bahayanya dadah, sekadar untuk belajar dan sebagainya,” katanya.

Rosland berkata, statistik juga menunjukkan penagih dadah kategori belia yang berusia antara 19 hingga 39 tahun merekodkan peningkatan paling tinggi iaitu seramai 18,806 tahun lepas berbanding 18,211 tahun sebelumnya.

“Ia diikuti penagih dadah kategori dewasa yang berusia 40 tahun dan ke atas iaitu 6,567 (2019) dan 6,213 (2018).

“Bagaimanapun, penagih dadah kategori remaja berusia antara 13 hingga 18 tahun menunjukkan pengurangan iaitu hanya 436 tahun lepas berbanding 548 tahun sebelumnya,” katanya.

Berita Penuh : SINAR HARIAN

(Visited 62 times, 1 visits today)

COMMENTS