Anak Kedah di perantauan perlu terima hakikat tak boleh pulang beraya

Anak Kedah di perantauan perlu terima hakikat tak boleh pulang beraya

Anak Kedah yang berada di perantauan diminta tidak ‘curi-curi’ pulang menyambut Aidilfitri bagi mengelak berlaku jangkitan kes COVID-19 sehingga menyebabkan status Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP) di negeri ini berubah.

Menteri Besar, Muhammad Sanusi Md Nor, berkata semua pihak termasuk ibu bapa di kampung diharap berlapang dada dan menerima hakikat keputusan kerajaan tidak membenarkan rentas negeri.

“Lebih baik tidak balik kampung, tetapi nyawa masih di badan daripada balik dan menyebabkan orang kampung meninggal dunia atau terkesan akibat COVID-19.

“Sebarang keputusan dibuat kerajaan tidak lain dan tidak bukan adalah untuk kebaikan orang ramai. Mungkin akan ada sesetengah yang terjejas, tetapi ia terpaksa dilakukan demi kepentingan semua,” katanya pada sidang media di Wisma Darul Aman, di sini, hari ini.

Beliau berkata demikian bagi mengulas kenyataan Menteri Kanan (Keselamatan), Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob semalam, yang menegaskan umat Islam tidak dibenarkan balik ke kampung bagi menyambut Aidilfitri berikutan larangan perjalanan rentas negeri masih berkuat kuasa.

Mengulas lanjut, Muhammad Sanusi berkata, kerajaan negeri juga u yakin keputusan itu dibuat berdasarkan pengalaman kerajaan sebelum ini, apabila membenarkan rakyat melakukan aktiviti rentas negeri sehingga menyebabkan berlaku peningkatan kes yang drastik.

“Ada pertimbangan tertentu yang dibuat kerajaan apabila tidak membenarkan rentas negeri. Ibu bapa saya sendiri pasti sedih kerana daripada 13 anak, cuma saya saja berada di Kedah dan dapat meraikan Aidilfitri bersama mereka.

“Perkara sama tentu berlaku kepada ibu bapa orang lain, tetapi kita kena reda dan menerima norma baharu ini agar semua pihak selamat,” katanya.-BH

COMMENTS

Wordpress (0)
Disqus (0 )