Anak perempuan Jackie Chan tidak tersinggung nama tiada dalam wasiat
Anak perempuan Jackie Chan tidak tersinggung nama tiada dalam wasiat

Anak perempuan Jackie Chan tidak tersinggung nama tiada dalam wasiat

KUALA LUMPUR : Anak perempuan pelakon aksi lagak ngeri terkenal dunia, Jackie Chan, iaitu Etta Ng, mengaku tidak tersinggung apabila mengetahui namanya tidak tersenarai sebagai penerima wasiat untuk mewarisi harta aktor tersebut yang dianggarkan bernilai RM2 bilion.

Menerusi buku memoir Never Grow Up yang diterbitkan pada tahun 2018, Jackie ada menyebut bahawa orang-orang yang akan mewarisi pembahagian hartanya adalah isteri, Joan Lin dan anak lelakinya, jaycee Chan sementara selebihnya akan disalurkan kepada badan amal.

Bagaimanapun, Jackie tidak menyebut nama anak perempuannya, Etta Ng, yang merupakan hasil hubungan skandalnya dengan wanita bernama Elaine Ng sebagai penerima harta tersebut.

Bagaimanapun, seiring waktu, Etta mengaku dia tidak kisah andai namanya tidak tersenarai untuk mewarisi harta kekayaan bapanya kerana menganggap ia bukanlah urusannya.

“Saya tidak menginginkan apa-apa pun daripadanya. Saya tidak terluka pun kalau dia tidak menyebut nama saya. Itu bukan urusan saya,”katanya.

Selain itu, kata Etta, selama hidup, dia juga tidak pernah bertemu dengan bapanya itu dan ia menjadi punca ketidakakrabannya dengan pelakon terkenal tersebut.

“Saya tak pernah bertemu dengannya. Anda yang bertanyakan soalan ini, pernah bertemu dengannya? Jika tidak, begitulah juga dengan saya. Secara peribadi, bagi saya tiada yang baik atau yang buruk tentangnya di mata saya.

“Ini kerana saya tidak pernah mengenalinya. Memang prinsip diri, tidak suka menghakimi seseorang tanpa mengenalinya dahulu.

“Ketika saya masih muda, mungkin ada kala bersikap biadap tentang dia. Tetapi sekarang saya jauh lebih tenang. Saya percaya setiap orang akan membuat kesalahan tapi kesalahan apa yang dilakukan dalam hidup anda, itu bukan urusan saya,”katanya.

Jackie dikatakan berselingkuh dengan Joan untuk bersama dengan Elaine Ng sekitar kontroversi yang berlaku pada era 90-an.

Elaine melahirkan Etta pada November 1999 dan tidak pernah diakui kewujudannya oleh Jackie menyebabkan hidup wanita tersebut dibelenggu dengan tekanan.

Pada tahun 2002, Elaine melarikan diri dari Hong Kong ke Shanghai, China untuk menyembunyikan wajah anaknya daripada dikejar paparazi. —UM

(Visited 82 times, 1 visits today)

COMMENTS