ANGKA PELABURAN KE KEDAH MELEBIHI SASARAN DITETAPKAN.
ANGKA PELABURAN KE KEDAH MELEBIHI SASARAN DITETAPKAN.

ANGKA PELABURAN KE KEDAH MELEBIHI SASARAN DITETAPKAN.

ALOR SETAR – Dasar mesra pelabur selain kecekapan kerajaan negeri menguruskan keperluan serta kehendak golongan berkenaan, terus membuahkan hasil dengan jumlah pelaburan di Kedah dilaporkan terus menunjukkan prestasi terbaik.

Menteri Besar, Dato’ Seri Utama Mukhriz Tun Mahathir berkata, angka pelaburan yang masuk ke negeri ini menunjukkan angka mengejutkan dan melepasi sasaran ditetapkan.

“Insya Allah kita akan umumkan angka pelaburan itu tidak lama lagi. Setakat ini apa yang saya boleh nyatakan adalah angkanya agak mengejutkan iaitu melebihi sasaran.

“Itu menunjukkan keyakinan pelabur baik tempatan mahu pun asing terhadap dasar serta pendekatan menarik pelabur ke negeri ini,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam sidang akhbar selepas mempengerusikan Mesyuarat Exco di Wisma Darul Aman, dekat sini hari ini.

Mesyuarat tersebut yang dihadiri Setiausaha Kerajaan Negeri, Dato’ Paduka Ammar Dato’ Shaikh Mahmood Naim serta semua barisan exco turut membincangkan beberapa perkara lain antaranya pembangunan negeri dan ekonomi.

Sementara itu katanya, dengan angka pelaburan yang dilihat cukup memberangsangkan, Kedah tidak mustahil akan sekali lagi diumumkan sebagai antara negeri ‘top 5’ di Malaysia yang menerima pelaburan terbesar.

“Kalau dulu kita agak tercorot dari segi pelaburan, kini kita berjaya bersaing dengan negeri-negeri yang jauh lebih maju, sekali pun kita bukanlah sebuah negeri yang sememangnya dikenali sebagai destinasi pelaburan,” katanya.

Sebelum ini, Laporan Lembaga Pembangunan Pelaburan Malaysia (MIDA) bagi tempoh kajian Januari hingga September 2019 menunjukkan Kedah telah menerima pelaburan bernilai RM7.804 bilion.

Jumlah itu meletakkan Kedah berada di kedudukan ketiga dari segi pelaburan tertinggi di Malaysia selepas Pulau Pinang dan Selangor.

(Visited 2 times, 1 visits today)

COMMENTS