Apa sudah jadi dengan Perak?
Apa sudah jadi dengan Perak?

Apa sudah jadi dengan Perak?

Kuala Lumpur: ‘Ku sangkakan panas hingga ke petang, rupanya hujan di tengah hari’.

Perumpamaan itu sesuai digambarkan kepada pasukan Perak FC yang dikatakan baru saja pulih daripada kemelut dalaman dan masalah tunggakan gaji namun timbul pula ‘badai’ lain apabila kemungkinan besar tidak boleh mendaftar pemain mereka untuk musim 2022.

Hal ini kerana, pasukan terbabit masih lagi disekat daripada mendaftar pemain baharu oleh Persekutuan Bolasepak Antarabangsa (Fifa) selepas didapati gagal menjelaskan hutang berjumlah RM1.7 juta.

Difahamkan hutang berkenaan membabitkan tunggakan gaji beberapa tonggak import selain turut berkaitan pembayaran kepada ejen pemain.

Malah, tarikh tutup pendaftaran yang berbaki 10 hari saja lagi menyaksikan agak mustahil skuad Bos Gaurus dapat menyelesaikan hutang berkenaan dalam tempoh terdekat ini sekali gus mereka perlu beraksi dengan pemain sedia ada bagi mengharungi saingan Liga Perdana.

Mengesahkan situasi berkenaan, Setiausaha Agung Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) Mohd Saifuddin Abu Bakar berkata, pihaknya sudah mengadakan perbincangan bersama Perak FC berkaitan situasi berkenaan sekali gus mahu mereka menyelesaikan segera bagi mengelak masalah terbabit membelenggu pasukan.

Katanya, Perak FC tidak mempunyai masalah untuk mengambil pemain baharu namun kegagalan menyelesaikan hutang berkenaan menyebabkan pasukan terbabit tidak boleh mendaftar mereka untuk beraksi pada saingan Liga Perdana.

“Kita sudah mengadakan perbincangan bersama Perak FC berkaitan arahan Fifa yang meminta mereka menyelesaikan kes tunggakan gaji membabitkan pemain dan ejen.

“Mereka kena selesaikan perkara ini secepat mungkin. Jika gagal berbuat demikian, mereka boleh tandatangani pemain baharu namun tak boleh daftar untuk beraksi pada saingan Liga Perdana.

“Daripada segi FAM pula jika Perak FC sudah selesai kita akan hantar segera supaya mereka dapat daftar pemain. Fifa pula ada prosedur mereka dan tak boleh tutup terus kes kerana perlu pastikan semuanya termasuk pembayaran selesai,” katanya, ketika dihubungi Arena Metro.

Terdahulu, Perak FC yang bakal beraksi di Liga Perdana didapati gagal menjelaskan tunggakan gaji membabitkan bekas pemain import mereka iaitu Jeon Hyo Seok, Leandro dos Santos, Raianderson da Costa Morais atau lebih dikenali sebagai Careca selain turut berhutang kepada ejen Leandro dan Careca.

Pada musim ini, selain membawa masuk jurulatih baharu Yusri Che Lah, Perak FC juga bakal dibarisi oleh ramai muka baharu.

Antara pemain yang menyertai skuad The Bos Gaurus adalah Indra Putra Mahayuddin yang dibawa masuk dari KL City FC serta bekas pemain kebangsaan, Wan Zack Haikal Wan Noor.

Selain itu, bekas rakan sepasukan Indra Putra di KL City FC, Zamir Selamat dan Aris Asri dilaporkan turut berpindah ke Perak FC musim ini.–SH

(Visited 13 times, 1 visits today)

COMMENTS