Apakah Hukum Prank Antara Suami atau Isteri?
Apakah Hukum Prank Antara Suami atau Isteri?

Apakah Hukum Prank Antara Suami atau Isteri?

Apa hukum seorang suami prank atau gurauan kepada isteri dalam bentuk video dan sebagainya yang ditiru dari Barat?

Hukum Prank Suami atau Isteri?

Soalan: Apa hukum seorang suami berpura-pura curang konon-kononnya sebagai ‘prank’ atau gurauan kepada isteri dalam bentuk video dan sebagainya yang ditiru daripada Barat. Apakah batas-batas gurauan yang dibenarkan dalam hubungan suami isteri?

Jawapan Dr MAZA

Ada beberapa perkara yang perlu difahami berkaitan hukum yang ditanya tersebut;

1. Asalnya, bergurau senda yang TIDAK memberikan kesan yang buruk pada hubungan sesama muslim atau TIDAK membawa kepada dosa adalah dibolehkan. Perkara itu termasuk dalam bab muamalah atau pergaulan antara manusia yang hukum asalnya dibolehkan (harus) selagi tidak terbabit dengan perkara yang haram ia dibolehkan.

2. Gurau senda yang membawa kepada hubungan baik sesama manusia, apatahlagi sesama muslim mendapat pahala jika niatnya baik dan caranya betul. Gurau senda yang membawa kemesraan antara suami isteri digalakkan oleh agama sehingga Nabi s.a.w menyebut kepada Jabir bin ‘Abd Allah ketika menggalakkan beliau berkahwin dengan anak dara:
«فَهَلَّا جَارِيَةً تُلاَعِبُهَا وَتُلاَعِبُكَ، وَتُضَاحِكُهَا وَتُضَاحِكُكَ»
“Mengapa tidak anak dara, engkau bermain dengannya, dia bermain denganmu, engkau menjadikan dia ketawa dan dia menjadikanmu ketawa” (Riwayat al-Bukhari dan Muslim).

3. Namun, gurauan yang boleh menimbulkan salahfaham, atau kebencian, atau ketakutan, atau merendahkan maruah, atau penghinaan dan atau apa-apa kesan yang buruk adalah haram di sisi syarak. Kata al-Imam al-Nawawi (meninggal 676H):
المزاحُ المنهيُّ عنهُ، هُو الذي فيه إفراطٌ، ويُداوم عليه، فإنه يُورث الضحك وقسوةَ القلب، ويُشغل عن ذكر الله تعالى والفكر في مهمات الدين، ويؤولُ في كثيرٍ من الأوقات إلى الإِيذاء، ويُورثُ الأحقاد، ويُسقطُ المهابةَ والوقارَ. فأما ما سَلِمَ من هذه الأمور، فهو المباحُ الذي كان رسول الله صلى الله عليه وسلم يفعلهُ، فإنه صلى الله عليه وسلم إنما كان يفعلهُ في نادرٍ من الأحوالِ لمصلحةٍ، وتطييب نفس المخاطب ومؤانستهِ، وهذا لا منعَ منهُ قطعاً، بل هو سنةٌ مستحبةٌ إذا كان بهذهِ الصفةِ
“Ketahuilah sesungguhnya gurauan yang dilarang itu ialah yang melampaui batas dan berterusan (sentiasa melakukannya). Ini kerana ia menyebabkan ketawa dan keras jantung hati, melalaikan dari mengingati Allah dan (melalaikan) berfikir tentang perkara-perkara utama dalam agama. Ia juga dalam banyak keadaan membawa kepada menyakitkan pihak lain, menyebabkan kebencian, menjatuhkan kewibawaan dan ketenangan diri. Adapun gurauan yang selamat daripada perkara-perkara tersebut maka ia harus (dibolehkan), yang mana Rasulullah s.a.w melakukannya secara jarang-jarang dengan tujuan kemaslahatan tertentu, untuk membahagia dan memujuk perasaan pendengar. Ini sama sekali tidak dilarang. Bahkan ia satu sunnah yang disukai jika (berlaku) atas sifat tersebut” (al-Nawawi, al-Azkar, ms 326. Beirut: Dar al-Fikr ,1414H)

4. Terdapat banyak dalil tentang apa yang al-Imam al-Nawawi sebut itu. Dalam hadis sahih riwayat Ahmad, Abu Daud, al-Baihaqi, al-Tahawi dan selain mereka, Nabi s.a.w melarang perbuatan gurauan yang menimbulkan ketakutan kepada seseorang muslim yang lain:
أَنَّهُمْ كَانُوا يَسِيرُونَ مَعَ النَّبِيِّ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ، فَنَامَ رَجُلٌ مِنْهُمْ، فَانْطَلَقَ بَعْضُهُمْ إِلَى حَبْلٍ مَعَهُ فَأَخَذَهُ، فَفَزِعَ، فَقَالَ رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ: «لَا يَحِلُّ لِمُسْلِمٍ أَنْ يُرَوِّعَ مُسْلِمًا
“Para sahabat berjalan bersama Nabi s.a.w. Lalu, seorang lelaki dalam kalangan mereka mereka tidur. Terdapat dalam kalangan mereka cuba mengambil tali yang ada bersama lelaki tersebut, lantas dia terkejut. Maka, Rasulullah s.a.w bersabda: “Tidak halal untuk seorang muslim membuat seorang muslim lain panik ketakutan”.

5. Perbuatan prank kononnya curang (mempunyai hubungan haram dengan orang lain) bagi mengejutkan suami atau isteri bukan sahaja menimbulkan panik dan takut, ia juga menimbulkan kebencian dan marah. Kesemua itu membawa kepada keburukan dalam kehidupan. Ia tidak membawa apa-apa kebaikan kepada hubungan rumahtangga bahkan boleh merosakkan hubungan antara pasangan. Ia juga menjatuhkan wibawa suami atau isteri dan boleh menimbulkan buruk sangka yang diharamkan oleh syarak. Sengaja menimbulkan buruk sangka orang terhadap diri adalah berdosa kerana sengaja menyebabkan orang lain berdosa.
6. Jelas prank konon-kononnya curang (mempunyai hubungan haram dengan orang lain) terhadap isteri merupakan perbuatan yang diharamkan di sisi Islam, maka wajib untuk setiap yang berakal waras menghindarinya.

(Visited 52 times, 1 visits today)

COMMENTS