ATM sedia pusat rawatan sementara Covid-19 di Penjara Pokok Sena

ATM sedia pusat rawatan sementara Covid-19 di Penjara Pokok Sena

Angkatan Tentera Malaysia (ATM) membina pusat rawatan sementara dalam fasiliti Penjara Pokok Sena di Kedah bagi mendepani wabak COVID-19 di negeri berkenaan.

Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr Adham Baba, berkata pembinaan kemudahan itu adalah hasil kerjasama ATM dengan Kementerian Kesihatan (KKM).

“Dua blok bangunan bengkel sedia ada dalam kawasan penjara berkenaan ditukar fungsi menjadi fasiliti kesihatan sementara bagi merawat pesakit COVID-19, termasuk mereka yang memerlukan bantuan oksigen.

“Fasiliti berkenaan mampu memuatkan 250 individu dan berupaya menempatkan pesakit dari penjara lain di sekitar Kedah.

“Ia juga dilengkapi kemudahan kategori tiga dan empat kerana mempunyai fasiliti Unit Rawatan Rapi (ICU) sebelum pesakit dihantar ke Hospital Tuanku Sultanah Bahiyah, Alor Setar,” katanya dalam kenyataan di sini, hari ini.

Dr Adham berkata, fasiliti berkenaan dijangka dapat beroperasi sepenuhnya bermula 20 Oktober ini.

“KKM akan terus berusaha dalam memastikan keselamatan rakyat sentiasa menjadi keutamaan menerusi pelbagai inisiatif dan bantuan.

“Kita akan terus menjalin kerjasama strategik dengan pelbagai pihak selagi ia mampu membawa impak positif kepada rakyat,” katanya.

Sementara itu, Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah, dalam kenyataan menerusi akaun Facebook miliknya berkaitan perkembangan sama berkata, kerja penyediaan kemudahan itu dimulakan semalam.

Katanya, ia turut membabitkan penyertaan Jabatan Penjara, Jabatan Bomba dan Penyelamat khususnya HAZMAT, Jabatan Kerja Raya (JKR), syarikat konsesi Edgenta, penyedia rangkaian telekomunikasi Celcom, Tenaga Nasional Berhad (TNB) dan Syarikat Air Darul Aman (SADA).

“Dua pegawai ATM dan duaa pegawai Jabatan Kesihatan Negeri Kedah memantau persiapan mengikut pelan yang dirangka ATM-KKM,” katanya.

 

Berita harian : BeritaHarian

COMMENTS

Wordpress (0)
Disqus (0 )