Azmin Ali : PKR ‘kurang cerdik’ minta RM10 juta

Azmin Ali : PKR ‘kurang cerdik’ minta RM10 juta

Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Azmin Ali, menganggap saman RM10 juta yang didakwa akan digerakkan PRK terhadapnya sebagai “kurang cerdik.”

Bercakap kepada media di Kuala Pilah semalam, menteri kanan Perikatan Nasional itu berkata tiada sebab untuk dia menyerahkan wang sebanyak itu – jika ada – kepada PKR.

“Untuk apa saya bayar mereka RM10 juta? Lebih baik RM10 juta saya beri kepada rakyat daripada beri kepada parti yang tidak relevan.

“Jika saya ada duit itu, saya akan serah kepada rakyat, saya tak serahkan kepada parti yang sudah rosak seperti PKR,” kata seperti dipetik The Star Online hari ini.

Untuk rekod sebelum ini Azmin merupakan timbalan presiden PKR.

Pada 29 Julai lalu Bendahari Agung PKR Lee Chean Chung memberitahu parti itu mengarahkan peguam untuk mengeluarkan surat tuntutan ke atas 20 orang wakil rakyat mereka yang berpaling tadah selepas pilihan raya umum (PRU) 2018.

Tindakan sebahagian besar daripada mereka menyebabkan jatuhnya kerajaan Pakatan Harapan (PH) sama ada di peringkat pusat atau negeri dan menaikkan Perikatan Nasional.

Kata Lee, PKR menuntut RM10 juta daripada setiap seorang wakil rakyat terbabit sebagai pampasan yang dipersetujui lebih awal sebelum mereka menjadi calon PH pada PRU ke-14 lalu.

“Surat tuntutan menyatakan mereka perlu membayarnya dalam masa tujuh hari. Jika mereka gagal berbuat demikian, parti telah mengarahkan peguam untuk memulakan tindakan selanjutnya terhadap mereka,” katanya.

Jumlah pampasan tersebut dinyatakan dalam dokumen yang ditandatangani mereka sebelum PRU ke-14.

Berita penuh : MALAYSIAKINI

COMMENTS

Wordpress (0)
Disqus (0 )