Baddrol Bakhtiar wira Kedah atasi Sri Pahang di Alor Setar

Baddrol Bakhtiar wira Kedah atasi Sri Pahang di Alor Setar

Kedah Darul Aman FC (KDA FC) meraih tiga mata menewaskan Sri Pahang FC 3-1 hasil ledakan dua gol oleh Baddrol Bakhtiar di Stadium Darul Aman, sebentar tadi.

Baddrol Bakhtiar membuktikan sekali lagi kritikan terhadapnya tidak memberi kesan tetapi ia membantu melonjak prestasinya dan bertemu Sri Pahang di gelanggang sendiri, beliau sekali lagi memainkan peranan penting buat skuad tuan rumah.

Kedah menurunkan kesebelasan yang hampir sama seperti perlawanan sebelum ini dengan hanya dua perubahan pemain dilakukan oleh Aidil Sharin dengan kemasukkan semula Fandi Othman di bek kiri dan Anumanthan Mohan di jentera tengah.

Untuk Sri Pahang, Dollah Salleh membuat tiga perubahan dalam skuad utamanya dengan kemasukkan Faisal Rosli, Nur Izzat dan Hafiz Ramdan. Begitupun, mereka telah kehilangan bek tengah, Herold Goulon seawal minit ke-17 akibat kad merah.

Halangan, tarikan dan menyiku penyerang Kedah, Kpah Sherman telah menyebabkan Herold Goulon menerima hukuman tersebut. Ini menyebabkan Sri Pahang terpaksa beraksi dengan kekurangan seorang pemain lebih sejam aksi yang berlangsung.

Pada babak pertama, skuad Hijau Kuning lebih banyak memiliki kawalan bola, namun skuad Tok Gajah pantas hadir untuk menutup ruang dan mengasak pemain tuan rumah yang memiliki kawalan bola. Ia menyukarkan mereka untuk mengasak

Namun, Kpah Sherman tetap berjaya melepasi kawalan pertahanan pelawat menerusi hantaran jauh, namun telah disia-siakannya apabila cubaan melepasi penjaga gol, Zarif Irfan berhasil tetapi beliau terlepas kawalan bola tersebut pada minit ke-15.

Tuan rumah mengasak lagi menerusi beberapa percubaan antaranya menerusi cubaan lambung oleh Rabih Ataya pada minit ke-22, namun sedikit melewati palang gol.

Rabih Ataya merupakan fokal serangan Kedah di sebelah sayap kanan dalam formasi 4-3-3 yang menyaksikan beliau diletakkan oleh Aidil Sharin di posisi kegemarannya.

Ini menyaksikan Sri Pahang bergelut membendung pergerakan lincah pemain skuad kebangsaan Lubnan itu sepanjang perlawanan. Namun, kebanyakkan hantaran akhirnya telah disia-siakan oleh jentera serangan Kedah sepanjang perlawanan.

Akhirnya, kapten, Baddrol Bakhtiar berjaya menebus kegagalannya di minit ke-36 apabila membuka jaringan dalam perlawanan seminit kemudian selepas menerima hantaran Kipre Tchetche yang menyambung hantaran cutback oleh Rabih Ataya.

Sri Pahang tidak menanti lama, hasil serangan balas pantas, Nur Izzat Che Awang berjaya mencetak jaringan penyamaan buat pelawat di minit ke-42. Beliau menerima hantaran lolos oleh pemain tengah, Azam Azih yang membelah pertahanan lawan.

Pada minit ke-47, Kedah menambah jaringan gol apabila Kpah Sherman telah berjaya menyempurnakan sepakan penalti selepas beliau dikasari oleh pertahanan Sri Pahang, Faisal Rosli dalam kotak penalti untuk Kedah kembali mendahului perlawanan.

Skuad Tok Gajah tampil menguasai aksi selepas Kedah mengurangkan cengkaman perlawanan dan membuat beberapa percubaan, namun gagal menghasilkan gol.

Di minit ke-71, Baddrol Bakhtiar sekali lagi muncul sebagai watak penjaring gol apabila menanduk tipis sepakan penjuru yang diambil oleh Faizat Ghazli untuk memperdaya Zarif Irfan di gawang pelawat. Itu adalah gol ketiganya pada musim ini.

Kemasukkan pemain sayap, Azamuddin Akil menambah sengat Kedah, namun hantaran dan percubaannya di minit ke-83 dan 87, gagal menambah jaringan gol.

Sri Pahang boleh mengurangkan defisit gol di penghujung perlawanan menerusi sepakan penalti, tetapi rembatan deras Lee Tuck cemerlang dinafikan oleh Shahril Sa’ari seterusnya memberikan tuan rumah kemenangan berharga pada malam ini.

Kemenangan ke-4 Kedah itu membantu mereka melonjak ke kedudukan kedua liga dengan 13 mata. Ia juga kemenangan ketiga berturut-turut mereka dan mengekalkan rekod bersih, menang semua perlawanan di gelanggang sendiri dalam tiga aksi.-SemuanyaBola

COMMENTS

Wordpress (0)
Disqus (0 )