Bantu rakyat dengan kembalikan GST?
Bantu rakyat dengan kembalikan GST?

Bantu rakyat dengan kembalikan GST?

Bekas perdana menteri Najib Razak mencadangkan agar sistem cukai barang dan perkhidmatan (GST)  diperkenalkan semula agar boleh membantu rakyat yang terjejas kesan daripada pandemik, ini salah satu cara di tengah-tengah gesaan sistem percukaian seperti berlaku di beberapa negara

Bekas perdana menteri itu dalam hantaran di Facebook, berkata demikian merujuk tindakan beberapa negara yang menaikkan cukai seumpamanya ketika krisis kesihatan melanda.

Beliau memberi contoh bagaimana Singapura, Indonesia, Bahrain dan Arab Saudi, menaikkan kadar GST atau cukai tambah nilai (VAT), dengan mengatakan ia membantu kerajaan masing-masing menyediakan bantuan kewangan lebih besar kepada rakyatnya.

“Kesan pandemik tidak pukul sama rata bagi semua. Ada sektor yang menerima manfaat dan sedang berkembang lagi laju berbanding sebelum pandemik.

“Lebihan wang yang dikutip susulan kenaikan GST dari sektor menerima manfaat itu akan diagihkan secara terus kepada warga mereka dalam sektor-sektor yang terjejas,” katanya.

Najib berkata, bagi peringkat individu, mereka yang terlibat atau bekerja dalam sektor menerima manfaat besar akan lebih berbelanja susulan peningkatan pendapatan, justeru mereka akan membayar cukai itu lebih banyak.

Katanya, sektor seperti pertanian dan pembekal produk penjagaan berkembang lebih pantas berbanding sebelum pandemik menjadikan mereka yang bekerja dalam sektor terbabit mampu menyerap GST dikenakan.

Sebelum ini, timbul gesaan daripada beberapa pakar ekonomi dan ahli politik bagi kerajaan memperkenalkan semula GST, di tengah-tengah kebimbangan nisbah hutang berbanding kadar keluaran dalam negara kasar (KDNK) melonjak, susulan ketiadaan aliran tunai stabil dan perbelanjaan tinggi dikeluarkan kerajaan.

Bagaimanapun, pada tahun lalu, Menteri Kewangan Tengku Zafrul Aziz, berkata Putrajaya tidak akan memperkenalkan sebarang skim baharu cukai, sebaliknya mencari jalan melebarkan pendapatannya selepas pandemik.

GST yang diperkenalkan pada 2015 ditetapkan pada kadar 6%, namun dimansuhkan pentadbiran kerajaan Pakatan Harapan (PH) dahulu, menerusi penggantian cukai jualan dan perkhidmatan (SST), pada 2018.

— FMT

(Visited 47 times, 1 visits today)

COMMENTS