Bapa nekad jual lembu setelah anak maut diheret

Bapa nekad jual lembu setelah anak maut diheret

“Saya terpaksa menjual semua 13 ekor lembu berkenaan termasuk lembu kesayangan arwah anak saya,” kata Raja Hishamuddin Raja Yusuf, 29, bapa kepada Raja Abdul Wafi, 6, yang maut diseret lembu di Kampung Rahmat, Jeli, petang kelmarin.

Raja Hishamuddin berkata, walaupun semua lembu itu sudah dijaga sejak lima tahun lalu selain menjadi sumber pendapatannya, namun dia tidak mampu mengenangkan apa yang berlaku pada anak sulungnya.

“Kejadian berlaku di depan mata saya. Saya menyaksikan bagaimana Abdul Wafi diseret sehingga meninggal dunia.

“Saya trauma dan tidak mampu lagi menjejakkan kaki ke padang selain menguruskan lembu berkenaan.

“Walaupun sayang dengan binatang berkenaan kerana menjadi sumber pendapatan saya sekeluarga, namun saya terpaksa melepaskannya,” katanya ketika dihubungi, hari ini.

Raja Hishamuddin berkata, masih terngiang-ngiang lagi suara anaknya yang meminta dia tidak menjual lembu kesayangannya berusia dua tahun itu.

“Arwah terlalu sayangkan lembu berkenaan dan hampir setiap hari dia akan bercakap dengan lembu itu seperti bercakap dengan rakan.

“Namun, saya percaya jika kejadian itu berlaku kepada orang lain, mereka juga akan mengambil keputusan sama seperti yang saya akan lakukan,” katanya.

Mengenai penetapan harga lembu berkenaan, Raja Hishamuddin berkata, dia sedang menilai harga berdasarkan usia dan saiz haiwan berkenaan.

“Saya berharap proses penjualan ini berjalan lancar dan ada pembeli yang berminat dengan lembu saya,” katanya.

Dalam kejadian jam 6.40 petang kelmarin, Raja Abdul Wafi meninggal dunia di Hospital Jeli akibat kecederaan parah di kepala berikutan diseret lembu sejauh 50 meter.

Kejadian berlaku ketika mangsa ke lokasi kejadian bersama bapanya untuk mengambil lembu peliharaan mereka.

Berita sebelumnya telah melaporkan,

‘Lembu itu sudah seperti rakan karib anak, dan menjadi binatang kesayangannya sejak dua tahun lalu.

“Saya tidak sangka ajalnya berakhir disebabkan lembu berkenaan,” luah Raja Hishamuddin Raja Yusuf, 29.

Lelaki itu adalah bapa kepada Raja Abdul Wafi, 6, yang maut akibat diseret lembu sejauh 50 meter, di Kampung Rahmat, Jeli, jam 6.40 petang semalam.

Bapa kepada dua cahaya mata itu berkata, sudah menjadi rutin setiap hari anak sulungnya itu akan mengikutnya ke padang untuk mengambil lembu peliharaannya.

“Setiap petang kami berdua akan bersama-sama ke padang mengambil 13 ekor lembu yang ditambat di lokasi berkenaan kira-kira satu kilometer dari rumah.

“Lembu itu memang menjadi kesayangan anak saya kerana sudah dua tahun kami menjaganya sejak Abdul Wafi berusia empat tahun,” katanya ketika dihubungi hari ini.

Katanya, ketika kejadian seperti biasa dia akan mencabut tunggul lembu berkenaan serta yang lain untuk melepaskannya, sementara dia dan Abdul Wafi akan mengikut dari belakang dengan motosikal.

“Bagaimanapun ketika itu, saya yang berada tidak jauh dari lokasi tiba-tiba terkejut melihat Abdul Wafi sudah diseret lembu berkenaan, namun saya tidak boleh mengejarnya kerana bimbang lembu berkenaan lari lebih laju.

“Saya tidak tahu bagaimana lembu berkenaan boleh lari, mungkin ketika itu anak saya sedang bergurau dengan lembu itu menyebabkan binatang itu berlari dalam keadaan tali terbelit pada kaki Abdul Wafi.

“Saya hanya menghampiri anak selepas lembu berkenaan berhenti berlari dan ketika itu Abdul Wafi sudah tidak sedarkan diri,” katanya sambil menahan sebak.

Raja Hishamuddin berkata, walaupun sedih dengan kehilangan mengejut anak kesayangannya itu, namun dia reda dengan ketentuan takdir.

“Sejak kebelakangan ini Abdul Wafi begitu prihatin terhadap lembu berkenaan dan jika saya ke padang tanpa membawanya, dia akan mengamuk serta merajuk.

“Lembu itu juga sangat jinak dengan anak saya dan apa yang berlaku itu memang mengejutkan kami sekeluarga.

“Malah sehingga kini keadaan emosi isteri saya masih tidak stabil, lebih-lebih lagi dalam keadaan mengandung,” katanya sambil memaklumkan jenazah anaknya dikebumikan di Tanah Perkuburan Air Lanas, Jeli.

Dalam kejadian jam 6.40 petang semalam, Raja Abdul Wafi meninggal dunia di Hospital Jeli akibat kecederaan parah di kepala berikutan diseret lembu sejauh 50 meter.

Kejadian berlaku ketika mangsa ke lokasi kejadian bersama bapanya untuk mengambil lembu peliharaan mereka.

COMMENTS

Wordpress (0)
Disqus (0 )