Beberapa orang penyokong Najib hadir beri sokongan dalam pembicaraan kes 1MDB
Beberapa orang penyokong Najib hadir beri sokongan dalam pembicaraan kes 1MDB

Beberapa orang penyokong Najib hadir beri sokongan dalam pembicaraan kes 1MDB

KUALA LUMPUR: Segelintir penyokong Najib Razak hadir di Mahkamah Tinggi pagi ini susulan bekas perdana menteri itu menjalani hukuman penjara sejak Selasa lalu.

Berdasarkan pemerhatian FMT, lebih kurang 10 orang penyokong Najib dilihat hadir di mahkamah itu bagi memberi sokongan dalam perbicaraan kes 1MDB.

Ketika ditemui, seorang penyokong Najib yang hanya mahu dikenali sebagai Kak Lang menafikan mereka datang ke mahkamah kerana dibayar oleh pihak Najib.

Beliau berkata kehadiran hari ini dengan menggunakan wang sendiri berikutan mengenang jasa-jasa Najib kepadanya selama ini.

“Kalau tak cukup duit kawan-kawan bantu belanja. Ikhlas jadi penyokong dia sejak dulu sampai sekarang,” katanya.

Sementara itu, seorang lagi penyokong Najib yang mahu dikenali sebagai SBY berkata beliau akan hadir ke mahkamah sehingga nasib bekas perdana menteri itu terbela.

“Dia (Najib) sekarang terbatas pergerakan. Tetapi roh dia masih luar bersama kami.

“Kami ingin sokong Najib sampai dia terbela. Datang atas kerelaan sendiri. Nak balas budi apa telah dia buat untuk kami golongan B40.

“Jasa Najib menggunung untuk rakyat,” katanya.

Manakala, seorang pesara, Radiah Rashid, 63, berkata kehadirannya hari ini bagi memberi sokongan moral pada Najib.

“Kita akan tunggu Najib sampai keluar hari ini. Nak bagi sokongan wang tak mampu. Hanya mampu bagi sokongan moral saja,” katanya.

Terdahulu, Najib yang sedang menjalani hukuman penjara, tiba di Mahkamah Tinggi di sini untuk perbicaraan kes 1MDB.

Najib dilihat keluar dari sebuah SUV polis dengan berpakaian sut kelabu dan bertali leher pada 8.43 pagi, dengan kenderaan yang membawanya ke mahkamah diiringi sebuah van Jabatan Penjara.

Najib menghadapi empat tuduhan menggunakan kedudukannya sebagai perdana menteri ketika itu untuk memperoleh suapan berjumlah RM2.3 bilion daripada dana 1MDB dan 21 tuduhan pengubahan wang membabitkan jumlah sama.

Beliau dihantar ke Penjara Kajang pada Selasa lalu, selepas Mahkamah Persekutuan mengekalkan sabitan dan hukuman penjara 12 tahun serta denda RM210 juta kerana menyeleweng RM42 juta dana SRC International.

(Visited 41 times, 1 visits today)

COMMENTS