Bekas pengawal bersalah bunuh kekasih
Bekas pengawal bersalah bunuh kekasih

Bekas pengawal bersalah bunuh kekasih

SHAH ALAM : Seorang bekas pengawal keselamatan dijatuhi hukuman gantung sampai mati oleh Mahkamah Tinggi di sini hari ini selepas didapati bersalah membunuh teman wanitanya, empat tahun lalu.

Tertuduh, M. Gunasegaran, 40, pernah menggemparkan negara apabila dia memandu sendiri kenderaan yang membawa mayat kekasihnya ke Balai Polis Damansara, Petaling Jaya dalam kejadian itu.

Hakim Nurulhuda Nur’Aini Mohamad Nor dalam penghakimannya berkata, pihak pendakwaan berjaya membuktikan kes melampaui keraguan munasabah.

“Mahkamah telah meneliti dan membaca semua keterangan serta hujahan bertulis kedua-dua belah pihak. Mahkamah mendapati tertuduh disabitkan dengan pertuduhan dan dihukum gantung sampai mati,” katanya.

Hukuman tersebut diterangkan oleh jurubahasa kepada tertuduh dalam bahasa Tamil.

Berdasarkan pertuduhan, tertuduh didakwa telah membunuh seorang wanita di tempat letak kereta sebuah pasar raya di Kota Damansara, Petaling Jaya pada pukul 1.50 petang pada 5 Februari 2018.

Dia didakwa melakukan kesalahan yang boleh dihukum di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman gantung sampai mati mandatori.

Kes yang dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Ho Kwong Chin telah memanggil seramai 17 saksi pendakwaan manakala pihak pembelaan diwakili peguam bela, Arik Zakri Abdul Kadir hanya memanggil tertuduh yang memberikan keterangan daripada kandang tertuduh.

Kes tersebut pertama kali didakwa di Mahkamah Majistret Petaling Jaya pada 16 Februari 2018. Akhbar pada 5 Februari 2018 melaporkan seorang lelaki menggemparkan Balai Polis Damansara apabila memandu masuk ke situ membawa mayat kekasihnya yang didakwa dibunuhnya beberapa jam sebelum itu.

Lelaki berusia 37 tahun ketika itu dilaporkan memandu masuk kereta jenis Honda City berwarna putih ke balai polis berkenaan kira-kira pukul 4 petang dengan membawa mayat teman wanitanya yang berusia 35 tahun di tempat duduk belakang.

Selepas memasuki balai, lelaki terbabit memaklumkan dia membawa teman wanita yang dibunuhnya di Kota Damansara dan datang ke balai untuk menyerah diri. – UTUSAN

(Visited 16 times, 1 visits today)

COMMENTS