Bekas tentera pukul isteri tuduh curang
Bekas tentera pukul isteri tuduh curang

Bekas tentera pukul isteri tuduh curang

SUNGAI PETANI – Seorang bekas tentera ditahan polis kerana disyaki mencederakan isterinya dalam kejadian di Bandar Puteri Jaya kira-kira jam 5 pagi pada Ahad lalu.

Ketua Polis Daerah Kuala Muda, Asisten Komisioner Adzli Abu Shah berkata, kejadian berlaku ketika pasangan berkenaan bergaduh dalam sebuah bilik sebelum lelaki berusia 36 tahun itu dikatakan menumbuk dan menampar isterinya.

Menurutnya, pergaduhan itu berlaku selepas lelaki berkenaan menuduh isterinya yang berusia 30 tahun curang.

“Suspek yang naik angin dikatakan menumbuk mata sebelah kanan, menampar kepala dan pipi sebelah kiri sehingga hujung kening kiri mangsa luka.

“Akibat kejadian itu, mangsa telah keluar dari rumah terbabit semalam dengan membawa empat anak berusia satu hingga tujuh tahun,” katanya.

Katanya, mangsa kemudiannya membuat laporan di Balai Polis Sungai Petani.

Difahamkan, pasangan itu sudah berkahwin sejak lapan tahun lalu, namun lelaki itu yang merupakan seorang tentera telah diberhentikan perkhidmatan pada 2019 akibat terlibat dalam penyalahgunaan dadah.

Lelaki terbabit telah ditahan dan dikenakan perintah reman sehingga 4 September 2020 bagi membantu siasatan.

Kes disiasat mengikut Seksyen 323 Kanun Keseksaan kerana sengaja mendatangkan kecederaan dan Seksyen 18A Akta Keganasan Rumah Tangga.

Berita Penuh : SINAR HARIAN

(Visited 45 times, 1 visits today)

COMMENTS