BELUM ADA KEPERLUAN KELUAR KETETAPAN BATAL SOLAT JUMAAT - MUFTI
BELUM ADA KEPERLUAN KELUAR KETETAPAN BATAL SOLAT JUMAAT – MUFTI

BELUM ADA KEPERLUAN KELUAR KETETAPAN BATAL SOLAT JUMAAT – MUFTI

ALOR SETAR – Mufti Kedah, Dato’ Paduka Syeikh Fadzil Awang berkata, sehingga kini masih tiada keperluan untuk membatalkan solat Jumaat di negeri ini.

Menurutnya, keputusan untuk membatalkan solat Jumaat di negeri lain tertakluk kepada pandangan pihak berwajib mengenai penularan pandemik COVID-19 di negeri masing-masing.

“Bagi kita di Kedah, keadaannya masih belum memerlukan kita mengeluarkan ketetapan membatalkan solat Jumaat. Walaubagaimanapun jika keadaannya bertambah serius, kita juga akan mengambil ketetapan sama (Membatalkan solat Jumaat).

“Sekiranya ketetapan tersebut dibuat, kita akan mengeluarkan panduan meminta umat Islam menunaikan solat zohor di rumah masing-masing,” katanya.

Beliau ditemui media selepas turut serta dalam Mesyuarat Jawatankuasa Khas COVID-19 Peringkat Negeri Kedah di Wisma Darul Aman di sini, hari ini.

Tambahnya, ketetapan itu jika dikeluarkan tidak akan hanya tertakluk kepada solat Jumaat malah merangkumi solat fardhu yang lain.

“Selain itu, ketetapan tersebut akan juga melibatkan sebarang bentuk himpunan beramai-ramai yang diadakan di masjid dan kawasan-kawasan lain,” katanya.

Tambahnya sekiranya keadaan menjadi lebih serius, tiada halangan dari sudut agama untuk membatalkan solat Jumaat bagi mengelakkan kemudaratan lebih besar.

“Setakat ini kita memberi nasihat kepada pihak pengurusan masjid supaya sentiasa menjaga kebersihan selain menggalakkan jemaah menggunakan ‘hand sanitizer’,” katanya.

(Visited 1 times, 1 visits today)

COMMENTS