Bergaduh dengan anjing hingga perut terburai
Bergaduh dengan anjing hingga perut terburai

Bergaduh dengan anjing hingga perut terburai

Seorang lelaki dipercayai mabuk menceroboh sebuah rumah dan mencederakan seekor anjing peliharaan jirannya dengan senjata tajam hingga isi perut haiwan itu terburai dalam kejadian di Taman Maju, di sini, Khamis lalu.

Ketua Polis Daerah Jasin Deputi Superintendan Mispani Hamdan berkata, dalam kejadian kira-kira jam 9.30 malam, lelaki berusia 37 tahun itu menceroboh masuk ke dalam garaj kediaman seorang suri rumah berusia 50 tahun dan mengamuk sebelum mencederakan anjing itu menggunakan sebilah parang kecil.

“Ketika kejadian suri rumah berkenaan terdengar salakan anjing peliharaannya beberapa kali dan terus meninjau keadaan di luar rumah menerusi tingkap bilik. Dia terkejut melihat suspek yang juga seorang penganggur mencederakan haiwan tersebut menggunakan parang kecil. Berdasarkan laporan awal, ketika kejadian pintu pagar rumah pengadu tidak berkunci, suspek telah masuk dan tiba-tiba mengamuk lalu mencederakan anjing tersebut.

“Mangsa yang melihat perbuatan suspek bagaimanapun tidak berani keluar rumah untuk menyelamatkan anjing tersebut kerana takut,” katanya ketika dihubungi hari ini.

Mengulas lanjut Mispani berkata, pengadu memaklumkan suspek dilihat dalam keadaan mabuk dan selepas melakukan perbuatan tidak berperikemanusiaan itu dia keluar dari rumah pengadu sambil menjerit.

Menurutnya, polis telah menahan suspek pada hari sama dan suspek direman empat hari sehingga esok bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 448 Kanun Keseksaan kerana ceroboh dan Seksyen 428 Kanun kerana melakukan khianat dengan membunuh atau mencacatkan haiwan.

“Ketika menahan suspek, polis turut merampas sebilah sabit besi dan pisau. Siasatan lanjut masih diteruskan,” ujar beliau.

Anjing berkenaan dilaporkan sudah mati akibat perbuatan lelaki itu.

Berita Penuh : SINAR HARIAN

(Visited 66 times, 1 visits today)

COMMENTS