Bersatu melukut di tepi gantang, Pas dan Umno bakal teruji- ILHAM Centre
Bersatu melukut di tepi gantang, Pas dan Umno bakal teruji- ILHAM Centre

Bersatu melukut di tepi gantang, Pas dan Umno bakal teruji- ILHAM Centre

Keputusan Pilihan Raya Kecil (PRK) N58 Dewan Undangan Negeri (DUN) Slim pada Ogos lalu memberi keyakinan kepada Muafakat Nasional (MN) diterajui parti UMNO, Pas dan Bersatu.

Bagaimanapun, keyakinan itu jelas Felo Penyelidik ILHAM Centre, Profesor Madya Dr Hamidin Abd Hamid, memerlukan kerja keras daripada semua parti di bawah perikatan itu untuk berusaha menyelesaikan isu pembahagian kerusi menjelang Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) yang dilihat semakin jelas.

Ia juga terserlah apabila beberapa pemimpin parti-parti terbabit dilihat mengeluarkan kenyataan yang bertentangan dengan kepimpinan tertinggi Muafakat Nasional (MN).

ISU KERUSI MUAFAKAT NASIONAL

“Senario mengapa saya katakan dilambung badai dan sebagainya, kita melihat bahawa rundingan untuk mereka bekerjasama itu masih berada di hadapan dan di pentas utama. Pada masa sama, kita juga melihat adanya halangan contohnya tindakan pihak tertentu mengeluarkan kenyataan yang boleh mengguris hati antara satu sama lain, antara parti atau antara pemimpin.

“Kemudiannya, ada kehendak sesetengah pihak yang perlu dituruti oleh setiap parti dan juga tindak balas dan tingkah laku yang menunjukkan bahawa ada parti yang mendominasi satu sama lain. Ini semua percaturan yang harus diambil kira oleh parti. Jika tidak berjaya diurus dengan baik ini boleh membawa kegagalan dalam usaha membina penyatuan itu,” katanya.

Malah jelasnya, jika tidak diselesaikan dengan kadar segera dan harmoni, ini dikhuatiri menjurus kepada kemelut politik yang boleh diambil kesempatan oleh parti lawan.

“Dalam kempen PRK Slim, boleh dikatakan tidak wujud Perikatan Nasional (PN), hujah kempen lebih kepada penyatuan Melayu. Kekuatan kerajaan pemerintah hari ini seolah-olah tenggelam, malah dalam soal-selidik kami mendapati Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin sangat popular sebagai individu tetapi bagaimana kerajaan itu dilihat dua cara berbeza.

“Jangan lihat penerimaan Muhyiddin itu sebagai penerimaan Perikatan Nasional atau parti,” katanya ketika ditemu bual Astro AWANI, pada Jumaat.

APA KHABAR BERSATU?

Kajian di lapangan mendapati rata-rata rakyat terutama penduduk di kawasan luar bandar terutama di DUN Slim, lebih memilih parti berbanding isu yang dibawa.

Malah PRK Slim, kata Dr Hamidin menyaksikan kembalinya keyakinan UMNO dan BN terutama selepas Muafakat Nasional dianggotai Bersatu.
Dalam kemenangan yang disandang Barisan Nasional di PRK Slim juga menyaksikan kurangnya jentera akar umbi Bersatu untuk berkempen bagi calon BN.

“Seolah-olah tiada tempat untuk Bersatu di Slim. Kalau kita lihat jentera di PRK Tanjung Piai, jentera (Bersatu) di Slim umpama melukut di tepi gantang. ILHAM Centre tidak nampak kerjasama, saya ikut Pas dan UMNO ketika meraih undi tetapi kerjasama Bersatu tidak berlaku di lapangan,” katanya.

Ujarnya, ia dikhuatiri memberi kesan psikologi besar kepada ahli Bersatu untuk bersama jentera parti komponen MN jika tidak ditangani dengan segera.

PEJUANG INTAI PELUANG

Sementara itu, di kala MN dan PH berdepan konflik politik dalaman, kemunculan Parti Pejuang Tanah Air (Pejuang) yang ditubuhkan bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad dilihat cuba mengintai peluang mendapatkan keyakinan rakyat.

Pejuang yang meraih 2,115 undi meskipun tewas di kerusi tradisi UMNO dan BN itu, berjaya membuktikan survival Pejuang diterima sebilangan masyarakat.

“Kalah dalam perjuangan disebalik kekuatan retorik Muafakat Nasional, mendapat dua ribu undi tetapi pada masa sama kemenangan itu disebalik kelemahan berlaku dalam Pakatan Harapan. Mereka berjaya menonjol diri mereka secara individu.

“Itu maksud saya, senyum dalam kemenangan. Dua-dua pihak walaupun mereka tidak mendapat sokongan penuh daripada PH tetapi mereka berjaya berdiri sendiri. Jadi saya melihat bahawa adanya tempat untuk Pejuang meletakkan tapak mereka dalam kancah politik semasa, disebalik apa kita katakan kejayaan penyatuan Muafakat Nasional,” jelas Dr Hamidin.

Kejayaan Pejuang tidak hilang wang deposit itu jelasnya membuktikan karier politik Ahli Parlimen Langkawi itu masih relevan dalam gelanggang politik tanah air.

Tambah Dr Hamidin, keputusan PRK N58 DUN Slim dilihat tidak sesuai dijadikan indikator Pilihan Raya Umum ke-15. (PRU15).

Berita Penuh : Astro Awani

(Visited 1 times, 1 visits today)

COMMENTS