Berselindung di sebalik bengkel kenderaan, Geng Cepet giat curi motosikal
Berselindung di sebalik bengkel kenderaan, Geng Cepet giat curi motosikal

Berselindung di sebalik bengkel kenderaan, Geng Cepet giat curi motosikal

ALOR SETAR – Berselindung di sebalik bengkel membaiki kenderaan di Sungai Petani di sini, seramai lima lelaki ditahan polis kerana disyaki terbabit dengan jenayah mencuri motosikal dalam kejadian bulan lalu.

Timbalan Ketua Polis Kota Setar, Superintendan Mohd Redzuan Salleh berkata, lima lelaki yang merupakan ahli Geng Cepet berusia 19 hingga 50-an itu ditahan dalam beberapa serbuan dilakukan Bahagian Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kota Setar sekitar Kota Setar dan Sungai Petani.

Beliau berkata, siasatan mendapati modus operandi ahli Geng Cepet ialah mencuri motosikal sebelum dibawa kepada broker untuk dihantar kepada pengusaha bengkel membaiki kenderaan berkenaan untuk dileraikan komponennya sebelum dijual kepada pelanggan.

“Kita dapati salah seorang suspek yang berusia lingkungan 50-an mengusahakan bengkel membaiki kenderaan di bahagian hadapan premis, bagaimanapun menyembunyikan aktiviti mencuri dan meleraikan komponen di sebelah belakang.

“Melalui soal siasatan, kita mendapati kumpulan berkenaan aktif melakukan kegiatan jenayah curi motosikal di daerah Kota Setar sejak dua tahun lepas sebelum sindiket ditumpaskan polis,” katanya pada sidang akhbar di IPD Kota Setar di sini hari ini.

Mohd Redzuan berkata, polis merampas sebanyak 24 buah enjin dan rangka motosikal yang masih berstatus hilang, 30 buah enjin, enam buah rangka dan satu motosikal dengan penahanan lima lelaki tersebut.

Beliau berkata, pihaknya juga merampas sebanyak 44 unit komponen motosikal dan satu set mesin ‘puncher’ bagi tujuan menghilangkan nombor enjin dan nombor enjin yang asal.

Menurutnya, penahanan lima lelaki juga berjaya menyelesaikan kehilangan 14 buah enjin dan rangka motosikal di Kota Setar diikuti enjin dan rangka motosikal di Kuala Muda (empat), Seberang Perai Selatan (tiga) dan masing-masing satu di Kubang Pasu, Pendang dan Kuala Langat, Selangor.

“Siasatan mendapati kelima-lima individu berkenaan tidak memiliki rekod kesalahan lampau dan ujian air kencing dijalankan ke atas mereka juga negatif.

“Kes disiasat di bawah Seksyen 379A Kanun Keseksaan yang mana jika disabit hukuman penjara selama satu hingga tujuh tahun dan denda,” katanya.

Artikel Penuh : SinarHarian

(Visited 2 times, 1 visits today)

COMMENTS