Burung kakaktua baka Afrika suka mencarut
Burung kakaktua baka Afrika suka mencarut

Burung kakaktua baka Afrika suka mencarut

Lima burung kakaktua di Taman Hidupan Liar Lincolnshire, Friskney, di sini, terpaksa diasingkan semula selepas haiwan itu suka mencarut.

Haiwan itu bukan saja mencarut sesama mereka, tetapi kepada pengunjung taman berkenaan selepas dikeluarkan dari kuarantin.

Ketua Pegawai Eksekutifnya, Steve Nichols berkata, burung kakaktua baka Afrika itu diterima pihaknya pada 15 Ogos lalu dan dikuarantinkan.

Menurutnya, dalam tempoh pengasingan, burung itu menggunakan masa terluang untuk ‘mengajar’ sesama mereka bahasa kesat.

“Tingkah laku burung ini membuatkan kakitangan taman tidak keruan dan tindakan segera perlu diambil apabila burung kakaktua itu mula menghamburkan kata-kata kurang sopan kepada pengunjung kami.

“Mereka semakin galak mencarut sekiranya pengunjung tertawa dengan tingkah laku biadab itu. Ia umpama kita melihat sekumpulan ahli ‘kelab lelaki tua’ berkumpul.

“Walaupun kami rasa perbuatan itu menggembirakan pengunjung, pada masa sama kami bimbang kesan buruknya kepada pengunjung dalam kalangan kanak-kanak,” katanya seperti dilaporkan portal Mirror UK.

Katanya, sebelum ini, burung itu pernah dipamerkan kepada pengunjung selama 20 minit dan ia menghamburkan kata-kata kesat. Namun, populariti taman itu naik mencanak.

Nichols mengakui sepanjang 25 tahun membawa spesies itu untuk pameran, ada juga burung kakaktua yang mencarut.

“Burung kakaktua Afrika sangat mahir meniru suara daripada bunyi yang didengari dan dilontarkan semula.

“Mengikut perancangan, burung kakaktua itu akan diletakkan dalam sangkar yang terpisah untuk mengelakkan ia saling mencarut, dan berperangai lebih baik,” katanya.

Berita Penuh : HARIAN METRO

(Visited 104 times, 1 visits today)

COMMENTS