Cedera di leher, mayat peniaga ditemui terapung di Sungai Ketil
Cedera di leher, mayat peniaga ditemui terapung di Sungai Ketil

Cedera di leher, mayat peniaga ditemui terapung di Sungai Ketil

Mayat seorang peniaga ditemukan terapung dengan kesan kecederaan di bahagian leher di Lubuk Segintah, kira-kira dua kilometer dari Jambatan Sungai Ketil dekat sini pada 10 pagi tadi.

Ketua Polis Daerah Baling Supt Syed Basri Syed Ali berkata mangsa yang dikenal pasti sebagai Sivaguru Gopal, 32, sebelum ini telah dilaporkan hilang oleh ahli keluarganya sejak Rabu lepas.

“Identiti mangsa telah disahkan oleh ahli keluarga yang sebelum ini membuat laporan polis pada Rabu berikutan mangsa tidak pulang ke rumah selepas keluar pada 10 malam Selasa lepas.

“Penemuan mayat ini mungkin melibatkan kes jenayah tapi punca kematian dan kesan kecederaan di leher hanya dapat diketahui selepas pasukan forensik menjalankan siasatan,” katanya kepada pemberita di tempat kejadian di sini hari ini.

Syed Basri berkata mayat mangsa dihantar ke Jabatan Forensik Hospital Sultanah Bahiyah Alor Setar untuk bedah siasat dan polis menjalankan siasatan lanjut mengenai punca sebenar kematian mangsa.

“Operasi mencari dan menyelamat dibantu anggota Pasukan Penyelamat Di Air Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) serta Anggota Pertahanan Awam Malaysia (APM) Daerah Baling sejak Rabu lepas telah ditamatkan,” katanya.

— BERNAMA

(Visited 2 times, 1 visits today)

COMMENTS