Covid-19: 11 kes baru dikesan hari ini
Covid-19: 11 kes baru dikesan hari ini

Covid-19: 11 kes baru dikesan hari ini

STATUS TERKINI KES COVID-19 DI MALAYSIA

Sehingga 29 Ogos 2020 pukul 12:00 tengah hari, terdapat 11 kes baharu yang telah dilaporkan. Ini menjadikan jumlah kes positif COVID-19 di Malaysia adalah sebanyak, 9317 kes. Oleh itu, jumlah kes aktif dengan kebolehjangkitan COVID-19 adalah 154 kes. Mereka telah diasingkan dan diberi rawatan.

Ingin dimaklumkan daripada 11 kes baharu yang dilaporkan, 10 kes adalah kes import yang telah mendapat jangkitan di luar negara yang melibatkan enam (6) warganegara Malaysia dan empat (4) bukan warganegara. 10 kes import tersebut adalah dari negara:

  1. India (7 kes di Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, 1 kes di Selangor);
  2. Indonesia (1 kes di Selangor); dan
  3. Qatar (1 kes di Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur).

Satu (1) kes penularan di dalam negara melibatkan satu (1) warganegara Malaysia. Kes dikesan di negeri Sarawak adalah daripada saringan pra pembedahan di Hospital Umum Sarawak.

Sehingga kini, terdapat lapan (8) kes positif COVID-19 yang sedang dirawat di Unit Rawatan Rapi (ICU), di mana enam (6) kes memerlukan bantuan pernafasan.

Adalah dimaklumkan bahawa tiada pertambahan kes kematian berkaitan COVID-19 dilaporkan pada hari ini. Justeru, jumlah kumulatif kes kematian COVID-19 di Malaysia adalah kekal sebanyak 125 kes (1.34 peratus daripada jumlah keseluruhan kes).

SARINGAN KESIHATAN DI HOSPITAL ANGKATAN TENTERA KEM TERENDAK

Pada 27 Ogos 2020, pihak Crisis Preparedness and Response Centre (CRPC) Kebangsaan, KKM telah dimaklumkan mengenai kes positif COVID-19 dalam kalangan anggota di Hospital Angkatan Tentera Kem Terendak, Melaka. Berdasarkan siasatan yang dijalankan, dua (2) kes dikesan melalui saringan pra pembedahan dan satu (1) kes adalah daripada saringan bergejala di hospital tersebut.

Berdasarkan maklumat yang diperolehi, pihak Angkatan Tentera Kem Terendak bersama pihak Jabatan Kesihatan Negeri Melaka telah membuat penilaian risiko ke atas anggota. Pengesanan kes secara aktif (Active Case Detection) dan saringan kontak rapat kes-kes positif dikenal pasti. Bagi kontak rapat yang telah dikenal pasti, saringan gejala dan pengambilan ujian pengesanan COVID-19 dijalankan. Surat Perintah Pengawasan dan Pemerhatian di Rumah diberikan kepada kontak rapat. Bagi individu yang mempunyai gejala jangkitan saluran pernafasan teruk, mereka akan dirujuk ke hospital untuk isolasi dan rawatan lanjut.

Sehingga 29 Ogos 2020, seramai 109 orang telah dikenal pasti sebagai kontak rapat kepada kes positif tersebut. Mereka telah disaring dan masih menunggu keputusan ujian COVID-19. Saringan kontak rapat dan aktiviti di lapangan masih diteruskan. Situasi semasa akan dimaklumkan dari semasa ke semasa.

Sumber: KP Kesihatan Malaysia

(Visited 3 times, 1 visits today)

COMMENTS