COVID-19 : 1,114 kes baru Covid-19, Kedah catat 10 kes dan dua kematian

COVID-19 : 1,114 kes baru Covid-19, Kedah catat 10 kes dan dua kematian

Kes baharu Covid-19 yang direkodkan hari ini masih kekal empat digit iaitu 1,114 kes menjadikan jumlah kes positif dalam negara sebanyak 46,209 kes, kata Ketua Pengarah Kesihatan Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah.

Ia menjadikan bilangan kes aktif kebolehjangkitan mencatat 12,131 kes, manakala jumlah kes pulih hari ini adalah 803 kes menjadikan jumlah kumulatif kes pulih sebanyak 33,772 kes.

Menurut Dr Noor Hisham, daripada 1,114 kes baharu hari ini, sebanyak 1,112 adalah kes penularan dalam negara manakala bakinya adalah kes import.

Penularan tempatan menyaksikan Sabah mencatatkan jumlah kes baharu tertinggi dengan 391 kes, diikuti Negeri Sembilan (371), Selangor (199), Perak (53), Pulau Pinang (34), Kuala Lumpur (13) dan Johor (15).

“Negeri lain adalah Kedah dengan 10 kes, Labuan (lapan), Melaka (enam), Kelantan (lima), Sarawak (tiga) dan Putrajaya mencatat empat kes,” katanya dalam kenyataan mengenai perkembangan Covid-19 hari ini.

Sementara itu, bagi kes import yang mendapat jangkitan dari luar negara melibatkan seorang warganegara dan seorang bukan warganegara yang tiba dari Indonesia dan Jordan.

Dr Noor Hisham berkata terdapat dua kes kematian Covid-19 hari ini menjadikan jumlah kumulatif kematian di Malaysia adalah 306 kes.

Beliau berkata kes kematian itu melibatkan wanita berumur 78 tahun yang mendapat rawatan di Hospital Queen Elizabeth, Sabah dan mempunyai sejarah osteoarthritis.

Selain itu, kes kematian turut melibatkan lelaki berumur 51 tahun yang mendapat rawatan di hospital sama dan mempunyai sejarah penyakit darah tinggi, kencing manis dan buah pinggang kronik.

Sehingga kini, terdapat 103 kes positif Covid-19 yang sedang dirawat di Unit Rawatan Rapi (ICU) dengan 43 kes memerlukan bantuan pernafasan.

–—Bernama

COMMENTS

Wordpress (0)
Disqus (0 )