COVID-19: 1,290 kes baharu, 878 kes pulih dan empat kematian direkod hari ini,  – KP Kesihatan

COVID-19: 1,290 kes baharu, 878 kes pulih dan empat kematian direkod hari ini, – KP Kesihatan

Malaysia mencatatkan sebanyak 1,290 kes baharu COVID-19 menjadikan jumlah kes positif adalah sebanyak 51,680 kes.

Daripada jumlah itu, dua negeri yang mencatatkan kes harian tertinggi ialah Sabah sebanyak 660 kes diikuti Selangor (407 kes).

Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah memaklumkan, dalam tempoh 24 jam juga, negara merekodkan 878 kes sembuh menjadikan jumlah kumulatif kes sembuh sepenuhnya adalah sebanyak 38,132 kes.

Dr Noor Hisham juga memaklumkan, terdapat empat kematian baharu dicatatkan menjadikan jumlah kematian adalah sebanyak 326 kes.

Sementara, pesakit yang sedang dirawat di Unit Rawatan Rapi (ICU) pula ialah seramai 110 orang di mana 37 kes memerlukan bantuan pernafasan.

Empat kluster baharu juga dikenal pasti oleh Kementerian Kesihatan pada Khamis iaitu Kluster Kapas BJ, Kluster Prestij, Kluster Bah Bercham dan Kluster Kiambang.

MAKLUMAT PENUH COVID-19 MALAYSIA

STATUS TERKINI KES DISAHKAN COVID-19 YANG TELAH PULIH

Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) ingin memaklumkan pada hari ini bilangan kes sembuh COVID-19 adalah sebanyak 878 kes, menjadikan jumlah kumulatif kes sembuh sepenuhnya daripada COVID-19 adalah 38,132 kes (73.8 peratus daripada jumlah keseluruhan kes).

STATUS TERKINI KES COVID-19 DI MALAYSIA

Sehingga 19 November 2020, sebanyak 1,290 kes baharu telah dilaporkan menjadikan jumlah kes positif COVID-19 di Malaysia adalah sebanyak 51,680 kes. Manakala, jumlah kes aktif dengan kebolehjangkitan COVID-19 pula adalah 13,222 kes. Daripada jumlah kes baharu berkenaan, terdapat lima (5) kes import yang mendapat jangkitan dari luar negara dan 1,285 kes pula adalah merupakan penularan COVID-19 dalam negara.

Dua (2) negeri yang mencatatkan kes yang tertinggi pada hari ini adalah Sabah (660 kes) dan Selangor (407 kes). Pelaporan kes yang tinggi di Sabah berpunca daripada kluster-kluster berkaitan Pusat Tahanan Sementara (PTS), lokap dan penjara (250 kes). Manakala, peningkatan kes di Selangor pula berpunca daripada Kluster Teratai (245 kes) dan sebuah kluster baharu pada hari ini iaitu Kluster Kapas BJ (55 kes). Kedua-dua kluster tersebut adalah kluster berkaitan tempat kerja yang melibatkan bukan warganegara.

Sebanyak 269 kes (20.9 peratus) yang dilaporkan pada hari ini adalah berkaitan kluster-kluster di Pusat Tahanan Sementara (PTS), lokap dan penjara yang membabitkan Kluster Penjara Sandakan (218 kes), Kluster Matambai (15 kes), Kluster Tembok (15 kes), Kluster Penjara Kepayan (9 kes), Kluster PTS Tawau (6 kes), Kluster Benteng PK (3 kes), Kluster GK Tawau (2 kes), dan Kluster Penjara Seberang Perai (1 kes).

Perincian penuh jumlah kes mengikut negeri adalah seperti di Lampiran 1 dan 2.

Sehingga kini, terdapat 110 kes positif COVID-19 yang sedang dirawat di Unit Rawatan Rapi (ICU), di mana 37 kes memerlukan bantuan pernafasan.

Dukacita dimaklumkan terdapat pertambahan empat (4) kes kematian berkaitan COVID-19, menjadikan jumlah kumulatif kes kematian COVID-19 di Malaysia adalah sebanyak 326 kes (0.6 peratus daripada jumlah keseluruhan kes).

Ringkasan kes kematian hari ini adalah seperti berikut:

No. Kematian Kes No. Negeri Jantina (warganegara) Umur (tahun) Hospital Latar Belakang
323 43767 Johor Perempuan (WN) 62 Hospital Enche’ Besar Hajjah Khalsom, Kluang Penyakit kencing manis, darah tinggi, penyakit buah pinggang kronik, dan obesiti
324 43923 Sabah Perempuan (WN) 29 Hospital Duchess of Kent Penyakit buah pinggang kronik
325 45064 Perak Lelaki (WN) 58 Hospital Raja Permaisuri Bainun Penyakit kencing manis, darah tinggi, dislipidemia dan penyakit buah pinggang kronik
326 50117 Sabah Perempuan (BWN) 47 Hospital Lahad Datu Penyakit kencing manis

*WN merujuk kepada warganegara dan BWN merujuk kepada bukan warganegara.

KKM mengucapkan takziah kepada semua ahli keluarga mereka.

MAKLUMAT TERKINI BERKAITAN KLUSTER-KLUSTER

Sehingga 19 November 2020, terdapat sebanyak 319 kluster telah dilaporkan. Pada hari ini, terdapat empat (4) kluster baru yang dilaporkan menjadikan jumlah kluster aktif yang dipantau adalah sebanyak 165 kluster. Daripada jumlah tersebut, sebanyak 54 kluster melaporkan pertambahan kes. Kluster-kluster yang melaporkan pertambahan kes baharu tertinggi adalah Kluster Teratai (245 kes), Kluster Penjara Sandakan (215 kes), dan Kluster Kapas BJ (55 kes). Ingin dimaklumkan bahawa sebanyak enam (6) kluster telah tamat iaitu Kluster Umboo, Kluster Bah Mutiara, Kluster Khazanah, Kluster Jalan Pantai, Kluster Bah Bangat dan Kluster Bah Kasturi. Ini menjadikan jumlah kluster tamat adalah sebanyak 154 kluster.

KLUSTER BAHARU

KKM juga ingin memaklumkan terdapat empat (4) kluster baharu yang telah dikenal pasti pada hari ini iaitu;

  • KLUSTER KAPAS BJ

Kluster  ini melibatkan daerah Hulu Langat di negeri Selangor. Kes indeks bagi kluster ini (iaitu kes ke-29261) merupakan seorang pekerja kilang yang positif COVID-19 hasil saringan pada 18 November 2020. Kes indeks  telah dimasukkan ke Hospital Sungai Buloh. Sehingga 19 November 2020, sejumlah 210 individu telah disaring, di mana 76 kes telah dikesan positif COVID-19 dalam kluster ini.

  • KLUSTER PRESTIJ

Kluster ini melibatkan  pekerja-pekerja di sebuah syarikat pembersihan di daerah Lembah Pantai dan Titiwangsa di Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur. Sehingga 19 November 2020, sejumlah 37 individu telah disaring, di mana 20 kes telah dikesan positif COVID-19 dalam kluster ini.

  •  KLUSTER BAH BERCHAM

Kluster ini melibatkan daerah Kinta di negeri Perak. Kes indeks kluster ini (iaitu kes ke-45074) yang positif COVID-19 hasil saringan pulang dari kawasan berisiko tinggi (Sabah) pada 13 November 2020. Sehingga 19 November 2020, sejumlah 137 individu telah disaring, di mana lima (5) kes telah dikesan positif COVID-19 dalam kluster ini. Kesemua kes telah dimasukkan ke Hospital Raja Permaisuri Bainun, Perak.

  •  KLUSTER KIAMBANG

Kluster ini melibatkan daerah Mersing, Kota Tinggi dan Johor Bahru, Johor. Kes indeks kluster ini (iaitu kes ke- 48391) yang positif COVID-19 hasil saringan individu bergejala pada 16 November 2020. Sehingga 19 November 2020, sejumlah 131 individu telah disaring, di mana sembilan (9) kes telah dikesan positif COVID-19 dalam kluster ini.  Kesemua kes telah dimasukkan ke Hospital Enche’ Besar Hajjah Khalsom, Johor.

9,167 KES POSITIF COVID-19 BERJAYA DIKESAN  MELALUI APLIKASI PINTAR MYSEJAHTERA

Aplikasi pintar MySejahtera telah dilancarkan oleh Kerajaan pada 20 April 2020 bagi membantu pengurusan pandemik COVID-19. Sejak dilancarkan, aplikasi ini mendapat sambutan yang amat menggalakkan daripada semua lapisan masyarakat. Sehingga 18 November 2020, MySejahtera telah berjaya mencapai 23,953,970 pengguna serta tanggungan yang berdaftar, dan 1,058,853 premis perniagaan berdaftar.

Setakat ini, MySejahtera telah merekodkan 1.7 bilion jumlah kumulatif check-in ke premis-premis berdaftar menggunakan imbasan kod QR dengan purata 15 juta check-in sehari. Selain itu, ia juga telah membantu merungkai 523,000 persoalan pengguna. Aplikasi ini telah berjaya mendapat penarafan 4.7 bintang di dalam aplikasi Apple Store dan Google Playstore.

Aplikasi MySejahtera telah banyak membantu KKM dalam mengesan kes-kes positif COVID-19 melalui 2 kaedah berikut, iaitu:

  • Penilaian kesihatan kendiri oleh pengguna, di mana kes COVID-19 dikesan apabila seseorang itu menilai risiko terhadap COVID-19 mengikut kriteria dalam garis panduan KKM. Sehingga 18 November 2020, 1,561 kes (3.1 – 6.5 peratus) telah berjaya dikesan dan disahkan positif COVID-19 dengan menggunakan kaedah  penilaian kesihatan kendiri; dan
  • Pengesanan kontak rapat melalui semakan data oleh Pejabat Kesihatan Daerah (PKD) dengan pangkalan data MySejahtera. Pengguna yang berpotensi sebagai kontak rapat kepada kes positif COVID-19 akan dikesan melalui aplikasi ini. Sehingga 18 November 2020, sebanyak 7,606 kes COVID-19 (15.1 – 37.8 peratus) telah dikesan positif melalui kaedah pengesanan kontak menggunakan MySejahtera.

Sehingga 18 November 2020, jumlah keseluruhan kes yang dikenal pasti positif COVID-19 melalui penggunaan aplikasi MySejahtera adalah 9,167 kes. Secara puratanya, kes yang dikesan adalah 18.2- 44.3 peratus (peratusan berubah dari semasa ke semasa kerana ia bergantung kepada jumlah kes harian serta jumlah kes yang menggunakan MySejahtera).

Untuk tujuan pengesanan kontak, data MySejahtera yang diperlukan akan disalurkan kepada PKD untuk membantu aktiviti lapangan. Data tersebut akan dianalisa bersama-sama dengan penemuan siasatan lapangan dan seterusnya menyumbang kepada aktiviti pengesanan kontak. Data-data pengesanan kontak dikumpul melalui modul MySejahtera Check-In di mana rekod kehadiran pengunjung disimpan melalui imbasan kod QR yang dipaparkan di semua premis.

Sebagai contoh, untuk Kluster Utama, seramai 17,260 pengguna telah dikenal pasti melalui aplikasi MySejahtera sebagai pengunjung ke pusat membeli belah terlibat dalam suatu tempoh masa tertentu. Daripada jumlah itu, seramai 1,343 individu telah dikenal pasti untuk penilaian lanjut oleh PKD, di mana 457 orang telah disahkan sebagai kontak rapat kepada kes positif Kluster Utama. Ujian persampelan seterusnya mengesahkan seramai 221 kes positif COVID-19 daripada 457 individu yang merupakan kontak rapat. Daripada 236 kes positif COVID-19 bagi Kluster Utama yang diumumkan pada hari yang sama,  221 kes adalah berjaya dikesan menggunakan aplikasi pintar MySejahtera (93 peratus).

Untuk makluman, aplikasi MySejahtera menerapkan ciri-ciri keselamatan yang mematuhi piawaian global untuk melindungi kerahsiaan dan keselamatan data. Data yang dikumpul melalui Mysejahtera adalah bagi tujuan pengesanan kontak sahaja dengan punca kuasa di bawah “Akta Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 1988” dan “Akta Perubatan 1971”. Maklumat peribadi pengguna yang dikumpulkan juga dilindungi oleh “Akta Perlindungan Data Peribadi 2010”. Data Check-In yang dikumpulkan akan diarkibkan selepas 30 hari dan akan dihapuskan selepas 90 hari.

NASIHAT KESIHATAN BERKAITAN COVID-19

KKM ingin menasihati orang ramai agar terus patuhi saranan serta nasihat-nasihat kesihatan yang sering ditekankan iaitu;

  • Elakkan 3S: (elakkan kawasan yang sesak, sempit dan sembang dengan jarak yang dekat).
  • Amalkan 3W: (Amalkan Wash, Wear dan Warn)

Patuhlah kepada S.O.P sebagai normal baharu. KKM akan terus memantau perkembangan kejadian jangkitan di dalam negara, dan juga luar negara melalui maklumat yang diperolehi daripada pihak WHO. Orang ramai akan sentiasa dimaklumkan sebarang perkembangan terkini mengenainya. Begitu juga, KKM akan memastikan langkah pencegahan dan kawalan yang sewajarnya adalah dilaksanakan secara berterusan.

Sekian, terima kasih.

TAN SRI DATO’ SERI DR. NOOR HISHAM ABDULLAH

KETUA PENGARAH KESIHATAN MALAYSIA

19 November 2020 @ 5.30 petang.

LAMPIRAN 1

BILANGAN KES COVID-19

MENGIKUT NEGERI DI MALAYSIA

(SEHINGGA 19 NOVEMBER 2020, JAM 12:00 TENGAH HARI)

NEGERI BILANGAN KES BAHARU *(    ) BILANGAN KES KUMULATIF
SABAH 660 24,929
SELANGOR 407 8,594
W.P. KUALA LUMPUR 72 (5) 4,716
NEGERI SEMBILAN 32 3,641
KEDAH 7 2,299
PULAU PINANG 8 1,711
W.P. LABUAN 15 1,214
SARAWAK 8 1,053
JOHOR 15 1,034
PERAK 48 996
PAHANG 0 395
MELAKA 1 375
KELANTAN 17 257
TERENGGANU 0 230
W.P. PUTRAJAYA 0 195
PERLIS 0 41
JUMLAH KESELURUHAN 1,290 (5) 51,680

*(   ) adalah merujuk kepada kes-kes import

LAMPIRAN 2

Perincian 1,290 kes positif COVID-19 baharu yang dilaporkan di Malaysia pada 19 November 2020 adalah seperti berikut: 

  • Sabah: 660 kes 
    • 418 kes daripada kluster-kluster sedia ada;
    • 144 kes daripada saringan kontak rapat kes positif COVID-19; dan
    • 98 kes daripada lain-lain saringan COVID-19.
  • Selangor: 407 kes 
    • 361 kes daripada kluster-kluster, termasuk 55 kes daripada kluster baharu iaitu Kluster Kapas BJ;
    • 19 kes daripada saringan kontak rapat kes positif COVID-19;
    • Satu (1) kes Severe Acute Respiratory Infections (SARI); dan
    • 26 kes daripada lain-lain saringan COVID-19.
  • Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur: 72 kes
    • 60 kes daripada kluster-kluster, termasuk 15 kes daripada kluster baharu iaitu Kluster Prestij;
    • Lima (5) kes import dari luar negara;
    • Empat (4) kes daripada saringan kontak rapat kes positif COVID-19; dan
    • Tiga (3) kes daripada lain-lain saringan COVID-19.
  • Perak: 48 kes
    • 37 kes daripada kluster-kluster, termasuk dua (2) kes daripada kluster baharu iaitu Kluster Bah Bercham;
    • Lima (5) kes daripada saringan kontak rapat kes positif COVID-19;
    • Satu (1) kes Severe Acute Respiratory Infections (SARI); dan
    • Lima (5) kes daripada lain-lain saringan COVID-19.
  • Negeri Sembilan: 32 kes
    • 26 kes daripada kluster-kluster sedia ada;
    • Lima (5) kes daripada saringan kontak rapat kes positif COVID-19; dan
    • Satu (1) kes daripada lain-lain saringan COVID-19.
  • Kelantan: 17 kes
    • 15 kes daripada kluster sedia ada; dan
    • Dua (2) kes daripada lain-lain saringan COVID-19.
  • Wilayah Persekutuan Labuan: 15 kes 
    • Tiga (3) kes daripada kluster-kluster sedia ada;
    • Tujuh (7) kes daripada saringan kontak rapat kes positif COVID-19; dan
    • Lima (5) lain-lain saringan COVID-19.
  • Johor: 15 kes
    • 11 kes daripada kluster-kluster, termasuk lapan (8) kes daripada kluster baharu iaitu Kluster Kiambang;
    • Tiga (3) kes daripada saringan kontak rapat kes positif COVID-19; dan
    • Satu (1) kes daripada lain-lain saringan COVID-19.
  • Pulau Pinang: Lapan (8) kes
    • Tujuh (7) kes daripada kluster-kluster sedia ada; dan
    • Satu (1) kes Severe Acute Respiratory Infections (SARI).
  • Sarawak: Lapan (8) kes
    • Enam (6) kes daripada kluster sedia ada;
    • Satu (1) kes daripada saringan kontak rapat kes positif COVID-19; dan
    • Satu (1) lain-lain saringan COVID-19.
  • Kedah: Tujuh (7) kes daripada kluster-kluster sedia ada.
  • Melaka: Satu (1) kes  daripada saringan kontak rapat kes positif COVID-19.

COMMENTS

Wordpress (0)
Disqus (0 )